Ng Tze Yong meneruskan langkah ke peringkat suku akhir apabila berjaya menundukkan lawan tersebut di pusingan 16 Kejohanan Terbuka Korea 2023 di Jinnam Stadium, sebentar tadi.

Baca Juga:

Ia juga boleh diibaratkan sebagai misi membalas dendam yang dapat dicapai oleh Tze Yong berikutan kekalahan Lee Zii Jia ke atas lawan yang sama, semalam.

Selepas ketinggalan 3-5 pada awal set pertama, Tze Yong yang kini menghuni tangga ke-23 ranking dunia itu bangkit untuk mendahului 8-5.

Bagaimanapun, Ng Ka Long tidak membiarkan jarak mata lebih besar dinikmati pemain negara itu yang menyaksikan beliau hanya mendapat kelebihan satu mata pada kedudukan 11-10.

Corak permainan semakin sengit ditampilkan selepas itu yang menyaksikan Angus Ng Ka Long sentiasa cuba mengejar kelebihan dua atau tiga mata dimiliki Tze Yong.

Namun, pemain perseorangan nombor dua Malaysia itu menyerap tekanan dengan baik untuk memenangi set pertama dengan kiraan 21-18.

Kemenangan pada set pertama itu jelas melonjakkan lagi semangat Ng Tze Yong untuk tampil lebih baik dimana beliau membuktikan pada awal set kedua.

Ia jelas dibuktikan apabila Tze Yong mendapat enam mata berturut-turut untuk mendahului lawan dari Hong Kong itu dengan kedudukan 9-1.

Mungkin kerana kecederaan dialaminya hingga memaksa beliau mendapatkan rawatan, kelebihan besar dimiliki itu dirapatkan oleh Ng Ka Long 9-12.

Enggan melihat peluang keemasan untuk mara ke suku akhir lebur, Ng Tze Yong memperkemaskan aksi sekali gus mengesahkan kemenangan 21-17.

Menanti beliau pada aksi esok ialah pemenang antara bekas juara dunia, Loh Kean Yew yang akan menentang Zhao Jun Peng dalam satu lagi aksi pusingan 16 sebentar lagi.

Kemenangan itu juga sedikit menceriakan kem negara selepas empat wakil sebelum ini yang disandarkan harapan kepada Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, Pearly Tan-M. Thinaah, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan S. Kisona tewas kepada lawan masing-masing.

Kiang Meng-Pei Jing yang merupakan juara bertahan dalam acara beregu campuran tidak mampu menyaingi kehebatan pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai selepas tunduk 9-21, 7-21 manakala Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie tewas kepada gandingan Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito 17-21, 13-21.

Pasangan beregu wanita nombor satu negara pula, Pearly Tan-M. Thinaah memberikan saingan yang cukup sengit kepada gandingan nombor satu dunia, Jia Yi Fan-Chen Qing Chen sebelum tunduk 17-21, 21-17, 19-21.

Sementara itu, S. Kisona juga tidak memberikan laluan mudah kepada perseorangan nombor satu dunia dari Jepun, Akane Yamaguchi yang menyaksikan beliau mengheret lawan tersebut ke set penentuan 22-20, 14-21, 14-21.