Gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzudin meneruskan rentak cemerlang apabila melangkah ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Korea Selatan 2023 yang berlangsung di Jinnam Stadium, sebentar tadi.

Baca Juga:

Masih segar dengan kejayaan muncul juara di Amerika Syarikat pada minggu lalu, pasangan yang kembali bergandingan itu menewaskan rakan senegara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi menerusi kemenangan ‘straight set’.

Amat mengenali corak permainan lawan masing-masing menyaksikan corak permainan saling kejar mengejar mata ditampilkan terutamanya pada set pertama.

Ia jelas dibuktikan apabila Sze Fei dan Nur Izzudin memenangi set pertama dengan perlawanan yang berlanjutan hingga ke mata 25-23.

Kecemerlangan mereka berterusan pada set kedua hingga berjaya mengesahkan kemaraan ke suku akhir dengan kemenangan 21-15 bagi berdepan pasangan nombor satu dunia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia.

Sementara itu, nasib berbeza dilalui pasangan beregu nombor satu negara selepas Aaron Chia-Soh Wooi Yik tewas ditangan gandingan Jepun, Keiichiro Matsui-Yoshinori Takeuchi.

Aaron-Wooi Yik berjaya memenangi set pertama 21-19 tetapi kecemerlangan itu gagal diteruskan pada dua set berikutnya sekali gus memberikan ruang buat Matsui-Takeuchi untuk memenangi perlawanan dengan 21-18, 21-19.

Manakala pemain perseorangan wanita, K. Letshanaa tumpas ditangan wakil Chinese Taipei, Tai Tzu Ying 15-21, 5-21.

Selepas berakhirnya aksi semua pemain negara pada hari ini, hanya Goh Sze Fei-Nur Izzudin serta Ng Tze Yong akan beraksi di suku akhir, esok.