Perjalanan kem negara di Kejohanan Terbuka Korea 2023 berakhir di peringkat suku akhir apabila dua wakilnya, Ng Tze Yong dan Goh Sze Fei-Nur Izzudin Rumsani tewas kepada lawan masing-masing pada aksi yang berlangsung di Jinnam Stadium, sebentar tadi.
Baca Juga:
- Terbuka Korea 2023: Sze Fei-Nur Izzudin Mara, Aaron-Wooi Yik Kandas
- Terbuka Korea 2023: Tundukkan Angus Ng Ka Long, Ng Tze Yong Ke Suku Akhir
- Terbuka Korea 2023: Lee Zii Jia Tersingkir Di Pusingan Pertama
Berdepan Loh Kean Yew yang menghuni ranking kelapan dunia, Tze Yong bagaimanapun tidak langsung menunjukkan kegentarannya untuk memberikan saingan sengit sepanjang perlawanan.
Hal ini jelas dibuktikan apabila beliau berupaya mendahului 17-14 pada satu ketika di set pertama tetapi Kean Yew lebih tenang menyerap tekanan ketika situasi genting untuk menang dengan 22-20.
Aksi kejar-mengejar mata terus dapat disaksikan pada set kedua yang akhirnya menjadi milik Kean Yew dengan kemenangan 21-19 untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir.
Sementara itu, gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzudin turut menerima nasib sama apabila tewas kepada pasangan nombor satu dunia, Fajar Alfian-Rian Ardianto dengan keputusan ‘straight set’.
Set pertama menyaksikan Sze Fei-Nur Izzudin berada dalam keadaan tertekan apabila tewas mudah 9-21. Namun, mereka cuba bangkit dengan semangat juang tinggi pada set kedua.
Bagaimanapun kelebihan dimiliki pada lewat permainan berjaya dipadamkan Fajar-Rian untuk menang 23-21.
Menanti mereka di separuh akhir Terbuka Korea 2023 ialah pemenang antara Matsui-Takeuchi dari Jepun dan pasangan tuan rumah, Kang Minhyuk-Seo Seungjae.
Cabaran skuad badminton negara akan beralih ke Terbuka Jepun 2023 yang akan diadakan di Tokyo bermula 25 Julai nanti.