Kem negara bermula dengan baik pada hari pertama Kejohanan Badminton Terbuka Jepun 2023 apabila kesemua empat wakil yang beraksi berjaya melepasi pusingan awal.

Baca Juga:

Pasangan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei terlebih dahulu menggembirakan kem negara yang kurang bernasib baik dalam kejohanan Terbuka Korea minggu lalu apabila berjaya menundukkan Robin Tabeling-Selena Piek.

Meskipun berdepan lawan yang berada di ranking kesembilan dunia, Tang Jie dan Ee Wei mempamerkan corak permainan bertenaga untuk menang ‘straight set’ 21-15, 21-18.

Ia merupakan kemenangan kedua berturut-turut dilakarkan Tang Jie-Ee Wei terhadap lawan tersebut dimana mereka telah bertemu sebanyak tiga kali.

Selepas itu, giliran Pearly Tan-M. Thinaah pula meraih kemenangan ke atas pasangan dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning hingga ke aksi penentuan 21-11, 9-21, 21-19.

Kejayaan yang boleh dikatakan agak sukar buat pasangan negara itu kerana terpaksa berhempas-pulas terutamanya pada set ketiga menyaksikan mereka meraih kemenangan kedua terhadap lawan itu.

Kejutan kemudiannya dilakarkan oleh Chan Peng Soon-Cheah Yee See apabila beraksi dengan cemerlang bagi menewaskan pasangan beregu campuran nombor tujuh dunia dari Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue 21-18, 21-18.

Ia merupakan pertembungan pertama melibatkan kedua-dua pasangan di pentas antarabangsa.

Wakil terakhir negara turut mara ke pusingan kedua Terbuka Jepun 2023 berstatus Super 750 itu ialah Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang menewaskan gandingan Perancis, Lucas Corvee-Ronan Labar 21-15 21-18 dimana ia juga merupakan pertemuan pertama mereka.

10 lagi wakil negara akan beraksi bermula pagi esok melibatkan Lee Zii Jia, Ng Tze Yong, Cheam June Wei, Goh Jin Wei, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzudin, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.