Perjuangan wakil tunggal negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berakhir di suku akhir selepas tewas ditangan pasangan tuan rumah, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi pada aksi Terbuka Jepun 2023 yang berlangsung di Gimnasium Kebangsaan Yoyogi, Tokyo sebentar tadi.
Baca Juga:
- Terbuka Indonesia 2023: Tundukkan Pasangan Korea, Aaron Chia-Soh Wooi Yik Ke Suku Akhir
- Terbuka Singapura 2023: Aaron Chia-Soh Wooi Yik Ke Separuh Akhir
- Badminton Asia 2023: Nasib Berbeza Lee Zii Jia, Aaron Chia-Wooi Yik
Kekalahan itu juga bermakna kem negara sekali lagi hampa apabila dua kejohanan berturut-turut tanpa wakil di separuh akhir.
Minggu lalu, Ng Tze Yong dan Nur Izzudin Rumsani turut tersingkir di peringkat suku akhir di Korea Selatan.
Kawalan baik ketika beraksi di jaring oleh Aaron Chia serta aksi agresif terutamanya menerusi Soh Wooi Yik nyata menjadi untuk memerangkap juara dunia 2021 itu pada set pertama.
Ia jelas dibuktikan apabila mereka tidak terlalu berdepan masalah untuk mendominasi set tersebut sekali gus meraih kemenangan 21-10 hanya dalam masa 14 minit.
Skrip berbeza dapat disaksikan pada set kedua apabila Hoki-Kobayashi bangkit penuh bergaya daripada ketinggalan tiga mata ketika kedudukan 10-13.
Keadaan itu jelas menyemarakkan lagi api perjuangan gandingan Jepun tersebut untuk menamatkan set kedua dengan kemenangan 21-15.
Momentum cemerlang yang ditampilkan Hoki-Kobayashi berterusan pada set ketiga bagi membolehkan mereka mengesahkan tempat ke separuh akhir dengan 21-16.
Menanti mereka esok ialah pasangan China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi.
Berakhirnya cabaran kem negara dalam saingan berstatus Super 750 ini menyaksikan tumpuan mereka bakal beralih kejohanan Terbuka Australia yang berlangsung 1 hingga 6 Ogos nanti.