Bekas juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meneruskan rentak cemerlang dalam Terbuka Indonesia 2023 apabila mara ke suku akhir kejohanan yang berstatus Super 1000 itu.

Selepas menundukkan wakil tuan rumah, Bagas Maulana-Muhammad Shohibul Fikri pada aksi semalam, gandingan nombor satu negara ini menjadikan Choi Sol Gyu-Kim Won Ho dari Korea Selatan pula sebagai mangsa seterusnya.

Mendapat sokongan padu penyokong yang berada di Istora Senayan, Jakarta jelas menyemarakkan lagi api perjuangan Aaron dan Wooi Yik.

Ia jelas dibuktikan apabila anak buah Rexy Mainaky dan Tan Bin Sheng itu bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat kedudukan 19-19 dan kemudiannya tidak memandang ke belakang lagi bagi mengesahkan kemenangan set pertama dengan 21-19.

Skrip yang hampir sama dengan aksi semalam ditampilkan Aaron Chia dan Soh Wooi Yik apabila kemenangan set pertama telah meningkatkan moral bagi mengharungi set kedua.

Selepas mendahului 11-7 ketika rehat ‘interval’, gandingan yang kini berada di ranking ketiga dunia itu mengekalkan corak permainan mantap bagi memastikan kemenangan menjadi milik mereka dengan keputusan 21-16.

Kejayaan itu juga merupakan kemenangan ketiga berturut-turut dilakarkan Aaron-Wooi Yik ke atas pasangan Korea Selatan tersebut di mana mereka menang ‘straight set’ ketika Malaysia Masters 2023 dan Kejohanan Berpasukan Asia 2020.

Bakal bertemu mereka di suku akhir esok ialah pemenang antara Akira Koga-Taichi Saito dan pasangan China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi yang akan bertemu sebentar lagi.