Perjuangan pasangan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi terhenti di pusingan kedua Kejohanan Terbuka Indonesia 2023 selepas tunduk kepada Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin pada aksi yang berlangsung sebentar tadi.

Baca Juga:

Sokongan padu penyokong yang berada di Istora Senayan, Jakarta jelas memberikan kelebihan kepada wakil tuan rumah itu untuk tampil dengan lebih baik.

Malah, pasangan negara itu pula kelihatan goyah pada permulaan set pertama hingga menyaksikan mereka ketinggalan 3-11 pada rehat ‘interval’.

Mendapat tonik berguna ketika rehat tersebut, Yew Sin-Ee Yi mempamerkan kebangkitan hingga berjaya mengejar kedudukan sehingga terikat 20-20.

Namun, gandingan Indonesia itu lebih tenang menyerap tekanan untuk mengesahkan kemenangan set pertama dengan keputusan 22-20.

Keadaan berbeza dapat disaksikan pada set kedua selepas aksi kejar-mengejar mata ditampilkan tetapi kelebihan tetap dipegang oleh Carnando dan Marthin 11-9.

Penguasaan diteruskan oleh pasangan ranking ke-10 dunia itu sekali gus meraih kemenangan 21-17 untuk mara ke suku akhir bagi bertemu pemenang antara Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dan Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae.

Dengan kekalahan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing pada hari ini menyaksikan hanya Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan membawa cabaran negara di suku akhir.

Beregu nombor satu negara itu akan berhadapan dengan pasangan Jepun, Akira Koga-Taichi Saito yang menewaskan Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi dari China.