Hari pertama Kejohanan Terbuka Indonesia 2023 jelas tidak begitu memihak kem badminton Malaysia apabila lima daripada enam wakil negara telah tersingkir daripada saingan yang berlangsung di Istora Senayan, Jakarta sebentar tadi.

Baca Juga:

Selain Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang berjaya meneruskan perjuangan ke pusingan 16 (kedua) pada Rabu ini, wakil lain seperti Ng Tze Yong, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei pula terkandas.

Yew Sin-Ee Yi yang kini berada di ranking ketujuh dunia bagaimanapun tidak diberikan laluan mudah apabila lawan mereka, Dhruv Kapila-M.R Arjun mengheret perlawanan ke ‘rubber set’.

Gandingan dari India itu tampil dengan cukup baik pada set pertama hingga berjaya meraih kemenangan 21-12. Namun, pasangan beregu nombor dua negara itu kemudiannya bangkit dengan penuh bergaya untuk menang 21-6.

Set ketiga memperlihatkan aksi menarik ditampilkan kedua-dua pasangan dengan saling kejar-mengejar mata yang akhirnya menjadi milik Yew Sin dan Ee Yi dengan kemenangan 22-20.

Hajat untuk melihat kejutan dilakarkan Ng Tze Yong tidak kesampaian selepas perseorangan kedua negara itu tunduk kepada pemain China, Shi Yu Qi dengan keputusan 7-21, 21-17, 13-21.

Sektor beregu campuran turut menghampakan apabila Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie tewas kepada pasangan tuan rumah, Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati 21-13, 24-26, 17-21

Gandingan yang mara ke separuh akhir Terbuka Singapura minggu lalu, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei pula akur dengan kemampuan Hiroki Midorikawa-Natsu Saito 17-21, 21-15, 17-21.

Sementara itu, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien tewas ketika bertemu pasangan beregu wanita tuan rumah, Meilysa Puspitasari-Rachel Rose dengan keputusan 18-21, 21-23.

Manakala wakil tunggal dalam acara beregu wanita, Goh Jin Wei turut ditunjukkan jalan keluar selepas tunduk kepada pemain Sepanyol, Carolina Marin 11-21, 11-21.

Cabaran negara di pusingan pertama Terbuka Indonesia 2023 akan diteruskan pada pagi esok yang menyaksikan lima lagi wakil beraksi iaitu Lee Zii Jia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Chan Peng Soon-Cheah Yee See.