Gandingan nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik membuatkan peminat tuan rumah ‘terkedu’ selepas berjaya menewaskan Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana pada pusingan pertama Kejohanan Terbuka Indonesia 2023 yang berlangsung di Istora Senayan, Jakarta sebentar tadi.
Kemenangan itu hadir tepat masanya bagi mengubati kekecewaan peminat negara selepas sandaran utama dalam acara perseorangan lelaki, Lee Zii Jia tewas ketika bertemu Lakshya Sen.
Sokongan padu peminat setia Indonesia jelas tidak langsung dihiraukan pasangan nombor tiga dunia tersebut untuk mempamerkan aksi cemerlang sekali gus melebarkan rekod kemenangan 2-0 ke atas lawan tersebut.
Aksi saling kejar-mengejar mata ditampilkan pada permulaan set pertama apabila jurang yang cukup rapat dapat disaksikan.
Aaron-Wooi Yik bagaimanapun lebih kental menyerap tekanan serta begitu agresif untuk memenangi set pertama dengan 21-16.
Kelebihan dimiliki itu jelas menjadi tonik berguna buat Aaron dan Wooi Yik dalam meningkatkan lagi moral mereka bagi menghadapi set kedua.
Keadaan itu jelas dibuktikan apabila mereka jauh meninggalkan lawan tersebut yang secara tidak langsung melenyapkan sokongan padu penyokong tuan rumah.
Prestasi cemerlang itu berterusan membolehkan Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengesahkan kemenangan untuk ke pusingan kedua dengan 21-12.
Kemenangan itu menyaksikan pasangan negara itu akan berhadapan dengan pemenang antara Choi Solgyu-Kim Won Ho dan Su Ching-heng-Ye Hong Wei.
Sementara itu, pasangan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut mara ke pusingan kedua selepas menundukkan gandingan England, Gregory Mairs-Jenny Moore dengan ‘straight set’ 21-14, 21-13.
Namun, perjuangan satu lagi beregu campuran, Chan Peng Soon-Cheah Yee See terhenti selepas mereka tunduk di tangan Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti 16-21, 9-21.