Gandingan Pearly Tan-M. Thinaah terlepas peluang untuk menjuarai Kejohanan Terbuka Hong Kong 2023 selepas tewas kepada Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti pada aksi final yang berlangsung sebentar tadi.

Baca Juga:

Penonton yang memenuhi segenap ruang di Hong Kong Coliseum itu bagaimanapun telah disajikan dengan aksi yang cukup menghiburkan oleh kedua-dua pasangan tersebut.

Malah, perlawanan melibatkan dua pasangan di kelompok 10 ranking teratas dunia itu diheret ke set penentuan yang berlanjutan hingga satu jam 13 minit.

Malah pada lewat aksi juga memperlihatkan Pearly mengalami kecederaan di buku lali selepas tergelincir ketika mahu menyelamatkan keadaan dihadapan jaring.

Pearly dan Thinaah bermula dengan cukup meyakinkan selepas memenangi set pertama dengan jurang mata 21-14.

Peluang untuk menamatkan kemarau kejuaraan Siri Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada satu ketika sudah semakin hampir untuk direalisasikan Pearly-Thinaah.

Ia jelas dibuktikan setelah mereka mendahului 13-9 dan kelihatan begitu bersemangat untuk meneruskan permainan.

Namun, Apriyani dan Siti Fadia Silva berjaya mengikat kedudukan 13-13 hasil empat mata berturut-turut dimana ia meningkatkan kembali moral mereka.

Aksi kejar-mengejar mata selepas itu akhirnya menjadi milik pasangan Indonesia tersebut untuk menang 24-22 bagi mengheret perlawanan ke set penentuan.

Ketika Apriyani-Siti Fadia Silva semakin bersemangat untuk menghadapi set ketiga, Pearly dan Thinaah kelihatan hilang fokus hingga mereka ketinggalan 2-11 pada rehat ‘interval’.

Kesempatan itu digunakan sepenuhnya oleh Apriyani dan Siti Fadia Silva untuk mengesahkan kemenangan bagi menjuarai saingan tersebut dengan keputusan 21-9.

Ia merupakan kekalahan kedua buat Pearly-Thinaah di perlawanan akhir kejohanan berstatus Super 500 dimana sebelum ini mereka tumpas di Malaysia Masters.