Empat daripada lima wakil negara meneruskan perjuangan dalam kejohanan Terbuka Hong Kong 2023 selepas beraksi cemerlang untuk mara ke separuh akhir.

Baca Juga:

Gandingan Pearly Tan-M. Thinaah terlebih dahulu mengesahkan tempat ke separuh akhir selepas menundukkan pasangan pilihan keempat kejohanan, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai.

Gandingan beregu wanita nombor satu negara itu bagaimanapun tewas 15-21 pada set pertama tetapi bangkit untuk mengheret perlawanan penentuan hasil kemenangan 21-14.

Pearly dan Thinaah mengekang dengan baik tekanan diberikan gandingan Thailand untuk memastikan kemenangan menjadi milik mereka dengan keputusan 21-19.

Pemain perseorangan wanita, Goh Jin Wei kemudiannya melakar kejutan hebat selepas berjaya menundukkan pemain ranking kesembilan dunia dari China, Han Yue 12-21, 21-17, 21-18.

Dua lagi slot separuh akhir Terbuka Hong Kong 2023 buat kem negara disahkan oleh Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan Ng Tze Yong.

Pasangan kekasih itu berjaya menewaskan Rinov Rivaldy-Pitha Mentari dari Indonesia dengan kemenangan 21-10 21-18.4

Manakala, Ng Tze Yong pula tidak berdepan masalah untuk menundukkan pemain Denmark, Magnus Johannessen 21-18 21-12.

Kecemerlangan kem negara gagal dituruti pasangan Goh Sze Fei-Nur Izzudin yang tewas kepada juara Sukan Olimpik dari Chinese Taipei, Lee Yang-Wang Chi Lin 19-21, 18-21.

Pearly Tan-M. Thinaah akan berhadapan dengan gandingan Thailand, Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard, Goh Jin Wei bakal bertemu Zhang Yi Man (China), Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie pula menentang wakil tuan rumah, Tang Chun Man-Tse Ying Suet.

Sementara itu, Ng Tze Yong akan menghadapi cabaran pemain Indonesia, Jonatan Christie.