Ng Tze Yong gagal mengambil kesempatan kelebihan dimiliki pada lewat set ketiga apabila tunduk kepada Shesar Hiren Rhustavito pada aksi pusingan kedua Kejohanan Terbuka China 2023 yang berlangsung sebentar tadi.

Kekalahan yang menyaksikan tiada wakil perseorangan negara akan beraksi di pentas suku akhir, esok.

Menewaskan H.S Prannoy di pusingan pertama, Tze Yong bangkit daripada ketinggalan 1-5 untuk menewaskan lawan dari Indonesia itu 21-18 pada set pertama.

Aksi hambar ditampilkan pemain perseorangan kedua negara itu pada set kedua apabila Tze Yong membiarkan lawan mendapat lapan mata berturut-turut hingga berjaya mendahului 6-14.

Keadaan tersebut membolehkan pemain ranking ke-45 dunia itu menang mudah 21-11 bagi membawa perlawanan ke set penentuan.

Ng Tze Yong jelas harus menyalahkan dirinya sendiri kerana gagal menggunakan peluang setelah beliau berada dihadapan sejak awal set ketiga.

Paling menghampakan ialah ketika beliau mendahului 20-16. Kesilapan yang dilakukan serta membiarkan Rhustavito mengganggu rentaknya nyata dihukum lawan.

Kemuncak kekecewaan itu hadir apabila Rhustavito bangkit dengan penuh bergaya untuk menang 22-20.

Sementara itu nasib berbeza dihadapi dua pasangan beregu campuran negara selepas Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing mara ke suku akhir.

Tang Jie-Ee Wei menewaskan Kim Won Ho-Jeung Na Eun 21-15, 15-21, 21-18 manakala Kian Meng-Pei Jing pula menunjukkan jalan keluar buat Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti 18-21, 21-19, 21-12.

Selepas ini lagi wakil negara akan turun beraksi iaitu Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, Pearly Tan-M. Thinaah, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien dan Anna Cheong-Teoh Mei Xing.

Terbuka China merupakan kejohanan berprestij dalam kalender Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dimana berstatus Super 1000.