Dua wakil negara, Pearly Tan-M. Thinaah dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut mengikuti jejak langkah Ng Tze Yong untuk mara ke pusingan kedua Kejohanan Terbuka China 2023, sebentar tadi.

Baca Juga:

Ia jelas merupakan permulaan baik buat kem negara dalam kejohanan berstatus Super 1000 yang berlangsung di Gimnasium Xincheng, Changzhou itu.

Berdepan Debora Jille-Cheryl Sienen dari Belanda, Pearly dan Thinaah yang layak ke suku akhir Kejohanan Dunia tempoh hari bagaimanapun tersentak pada set pertama apabila tewas 17-21.

Namun, pasangan ranking ke-11 dunia itu tampil dengan lebih meyakinkan pada set kedua untuk menang 21-17 bagi mengheret perlawanan ke set penentuan.

Bagaikan mendapat tonik pada set kedua itu, Pearly-Thinaah tidak memandang ke belakang lagi untuk mudah mengesahkan kemenangan 21-10.

Menanti gandingan negara itu di pusingan kedua ialah bekas pasangan nombor satu dunia dari Jepun, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota yang akan bertemu Linda Efler-Isabel Lohau (Jerman).

Sementara itu, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing menewaskan rakan senegara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie 25-23, 21-15.

Mereka akan bertemu pasangan Indonesia, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti di pusingan kedua selepas berjaya menundukkan Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin (China) 21-16, 12-21, 21-16.

Manakala tujuh lagi wakil negara yang diketuai oleh Lee Zii Jia bersama-sama Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, Goh Jin Wei, Anna Cheong-Teoh Mei Xing, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei akan beraksi esok.