• Pasangan Aaron Chia-Soh Wooi Yik terus kempunan kejuaraan dalam saingan Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) apabila tewas dalam aksi final Terbuka China 2023, sebentar tadi.

Berdepan Liang Wei Keng-Wang Chang yang mendapat sokongan padu penyokong sendiri di Xincheng Gimnasium membuatkan Aaron-Wooi Yik sedikit tenggelam punca untuk mempamerkan aksi terbaik mereka.

Tambahan pula difahamkan Soh Wooi Yik mengalami demam tetapi beliau tetap mahu beraksi pada perlawanan ini.

Keadaan itu jelas memberikan ruang buat Wei Keng-Wang Chang untuk mendominasi sebahagian besar untuk melakar kejayaan manis tersebut.

Ia jelas dibuktikan apabila pasangan China yang berada ditangga ketiga ranking dunia itu tidak terlalu berdepan masalah untuk memenangi perlawanan dengan mata 21-12, 21-14.

Kejayaan manis dilakarkan merupakan kemenangan kelima buat Wei Keng-Wang Chang ke atas Aaron-Wooi Yik.

Malah, ia merupakan kali kedua mereka menundukkan lawan sama di pentas final yang mana pertama kali di Terbuka India.

Selain itu, ia merupakan kekalahan kedua buat Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam saingan Super 1000 apabila sebelum ini mereka tewas kepada Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty di Terbuka Indonesia.

Perjuangan Aaron dan Wooi Yik bersama rakan sepasukan lain akan bersambung di Terbuka Hong Kong 2024 yang menyaksikan mereka akan bertemu Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani pada pusingan pertama.

Kejohanan Terbuka Hong Kong merupakan pertandingan yang berstatus Super 500.