Tiga daripada enam wakil negara yang beraksi berjaya melangkah ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Australia 2023 pada saingan yang berlangsung di Sydney sebentar tadi.
Baca Juga:
- Terbuka Jepun 2023: Aaron Chia-Wooi Yik Tewas Di Suku Akhir
- Terbuka Jepun 2023: Nasib Berbeza Lee Zii Jia, Ng Tze Yong
- Terbuka Jepun 2023: Empat Wakil Negara Lepasi Cabaran Awal
Ketiga-tiga wakil yang melepasi pusingan pertama itu ialah dalam acara beregu lelaki melibatkan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei-Nur Izzudin.
Berdepan Adam Dong (Xingyu)-Nyl Yakura dari Canada, Yew Sin dan Ee Yi bagaimanapun tersentak pada set pertama selepas mereka tunduk 20-22.
Kesilapan itu ditebus pada set kedua yang menyaksikan gandingan nombor dua negara itu tampil dengan lebih bertenaga untuk kemenangan mudah 21-6 bagi mengheret aksi ke set penentuan.
Enggan kesilapan seperti set pertama berulang kerana kealpaan sendiri, Yew Sin-Ee Yi tidak melepaskan peluang tersebut untuk memenangi perlawanan dengan 21-14.
Sementara itu, Aaron-Wooi Yik yang diletakkan selaku pemain pilihan kedua kejohanan tidak berdepan masalah untuk menewaskan gandingan tuan rumah, Allen Fang-Micheal Su 21-5, 21-6.
Kemudiannya giliran Sze Fei-Nur Izzudin pula memberikan keceriaan kepada peminat badminton negara berikutan kemenangan 21-15, 21-14 ke atas wakil Chinese Taipei, Ming Che Lu-Tang Kai Wei.
Susulan kemenangan tersebut, Sze Fei-Nur Izzudin akan berhadapan pasangan Korea Selatan, Kang Minhyuk-Seo Seungjae, Aaron-Wooi Yik bertemu Chiu Hsiang Chieh-Yang Min-tse dari Chinese Taipei di pusingan kedua Terbuka Australia 2023.
Manakala, Ong Yew Sin-TeonEe Yi bakal menanti pemenang antara Lee Yang-Wang Chii-Lin yang akan bertemu wakil negara, Nur Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong.
Sementara itu, nasib pula tidak menyebelahi Pearly Tan-M.Thinaah, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang tewas ditangan lawan masing-masing.