Hadiah yang cukup bermakna buat gandingan yang kembali berpasangan iaitu Goh Sze Fei dan Nur Izzudin Rumsani apabila mereka muncul selaku juara Kejohanan Terbuka Amerika Syarikat (AS) 2023 sebentar tadi.

Baca Juga:

Pada aksi final yang berlangsung di Council Bluffs, Iowa itu, Sze Fei-Nur Izzudin mempamerkan aksi yang cukup bertenaga untuk menundukkan pasangan kembar dari Chinese Taipei, Lee Fang-jen dan Lee Fang-chih dengan ‘straight set’.

Ia jelas dibuktikan apabila mereka mendahului 5-0 pada permulaan set pertama dan kemudiannya melangkah ke ‘interval’ dengan keputusan 11-4.

Momentum cemerlang itu diteruskan dengan aksi bertenaga ditampilkan serta kurang melakukan kesilapan mudah bagi membolehkan Sze Fei-Nur Izzudin menang 21-9.

Skrip sedikit berbeza pada awal set kedua apabila gandingan Chinese Taipei yang kini menghuni tangga ke-27 dunia itu memberikan saingan dengan jarak mata rapat.

Tetapi, tekanan itu tidak bertahan lama kerana Sze Fei-Nur Izzudin tidak memandang ke belakang lagi dengan pukulan ‘smash’ mantap serta kawalan permainan yang baik bagi memastikan kejuaraan menjadi milik mereka dengan keputusan 21-10.

Dengan kemenangan bermakna dilakarkan yang juga merupakan kejohanan pertama mereka kembali bergandingan, Sze Fei-Nur Izzudin membawa pulang hadiah wang tunai bernilai $16,590 (RM75,047).

Ia juga merupakan kejuaraan kedua buat Goh Sze Fei dan Nur Izzudin dalam Jelajah Dunia BWF (Persekutuan Badminton Dunia) selepas mereka menjuarai Terbuka Jerman pada 2022.

Kali terakhir wakil Malaysia menang dalam acara beregu lelaki di Terbuka AS yang kini berstatus Super 300 itu ialah Cheah Soon Kit-Soo Beng Kiang pada edisi 1992.