Kem badminton Malaysia cemerlang di Kejohanan Terbuka Arctic 2023 apabila empat wakil negara berjaya melangkah ke separuh akhir yang bakal berlangsung bermula 3.00 petang ini.

Ia turut menjadi antara pencapaian terbaik bagi kem negara sepanjang musim ini dalam kejohanan Jelajah Dunia kalender Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Empat wakil yang dimaksudkan ialah Lee Zii Jia, Ng Tze Yong, Mai Wei Chong-Tee Kai Wun serta gandingan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Turun selaku pemain pilihan kelapan kejohanan, Zii Jia mara selepas menundukkan rakan senegara, Leong Jun Hao yang terpaksa menarik diri ekoran kecederaan di set ketiga.

Menanti beliau di separuh akhir nanti ialah wakil Denmark, Anders Antonsen yang merupakan pemain pilihan ketiga.

Ng Tze Yong pula beraksi dengan cemerlang untuk menewaskan Lu Guang Zu dari China dengan ‘straight set’ 21-11, 21-18. Lawan yang perlu dihadapi Tze Yong pada aksi selepas ini merupakan wakil Jepun, Kanta Tsuneyama.

Sementara itu, Wei Chong-Kai Wun akan bertemu pasangan Denmark, Rasmus Kjær-Frederik Søgaard selepas berjaya menundukkan wakil Indonesia, Pramudya Kusumawardana-Yeremia Rambitan 22-20 21-18.

Manakala, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei melakar kejutan selepas menewaskan bekas juara dunia dari Thailand yang merupakan pilihan kedua kejohanan, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai 21-14, 21-17.

Gandingan sedang meningkat naik itu akan membuat perhitungan dengan pasangan China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin.

Terbuka Arctic 2023 yang diadakan di Vantaa, Finland merupakan kejohanan BWF berstatus Super 500.