Tempoh pinjaman penyerang muda skuad kebangsaan, Luqman Hakim bersama kelab Liga Iceland, Njardvik telah tamat dan pemain itu bakal kembali ke pangkuan KV Kortrijk.
Baca Juga:
- Luqman Pulang Sertai Kem Latihan Pusat Skuad Malaysia B-23
- Luqman Hakim Jaringkan Gol, Selamatkan Njardvík Dari Kekalahan
- Luqman Bakal Kembali Sarung Jersi Skuad Kebangsaan
Luqman menyertai Njardvik secara pinjaman selama enam bulan dari Kortrijk pada 7 Februari lalu dan beliau berjaya mencipta impak positif bersama kelab tersebut.
Pemain berusia 21 tahun itu menjaringkan beberapa gol dalam saingan liga dan juga Piala Bola Sepak Iceland sepanjang menyarung jersi Njardvik.
Menurut salah seorang sumber yang memberitahu Vocket FC, terdapat beberapa kelab dari saingan Liga Poland, Indonesia dan juga Liga Malaysia yang berminat untuk mendapatkan khidmat Luqman Hakim.
“Ada yang berminat untuk mendapatkan khidmat Luqman tetapi banyak jendela perpindahan telah ditutup. Jadi senario yang ada ialah Luqman akan kekal bersama KV Kortrijk sehingga Januari tahun hadapan.
“Ada kelab dari Poland, Indonesia dan Liga Malaysia yang berminat dengan Luqman. Salah satu kelab di Lembah Klang menunjukkan minat untuk mendapatkan pemain muda itu.
“Sekiranya ada pasukan yang berminat dan jendela perpindahan di negara asal kelab itu masih dibuka, maka Luqman akan mempertimbangkan tawaran yang ada,” kata sumber tersebut.
Sumber tersebut menambah, fokus Luqman kini merebut tempat dalam kesebelasan utama Kortrijk setelah beraksi selama enam bulan di Iceland dan membantu skuad B-23 Tahun negara dalam saingan kelayakan Piala Asia bawah 23 tahun (B-23) di Thailand minggu depan.
“Fokusnya ketika ini ialah merebut tempat dalam kesebelasan utama KV Kortrijk. Beliau masih mahu beraksi di luar negara, tetapi tidak menutup kemungkinan beraksi di Liga Malaysia,” tambahnya.