Ketua jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe jelas berpuas hati dengan aksi ditampilkan anak buahnya yang berjaya membelasah Kuching City FC 5-0 pada aksi kedua Liga Super 2023, malam tadi.
Ia merupakan kemenangan kedua berturut-turut dilakarkan skuad Gergasi Merah dimana sebelum ini mereka meraih kemenangan 1-0 ke atas Kelantan United.
Perlawanan di Stadium Negeri, Sarawak itu menyaksikan Noor Al-Deen Mahmoud Ali Al Rawabdeh menjaringkan dua gol manakala Ayron De Valle Rodriguez, Brendan Gan dan Ahmad Danial Ahmad Asri masing-masing menyumbangkan satu jaringan.
Selain daripada dua kemenangan yang diraih, Selangor bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi pasukan yang masih belum dibolosi.
“Ya, memang kami rasa cukup berpuas hati walaupun keadaan dari segi perjalanan kami agak kurang lancar dan sudah tentu kalau kita lihat secara keseluruhannya pemain-pemain menunjukkan disiplin taktikal yang cukup baik.”
“Apabila kita menyerang ada pemain yang berada dalam kawasan penalti lawan dan bila kita bertahan kita mampu menyerap tekanan yang diberikan Kuching City kerana kita tahu memang ada juga kekuatan di bahagian serangan.”
“Kita pun tidak jangka mampu menjaringkan lima gol. Dari segi semangat berpasukan kita nampak setiap pemain yang turun di kesebelasan utama atau pemain simpanan yang digantikan menunjukkan komitmen yang cukup tinggi dalam perlawanan tadi,” ujar Tan Cheng Hoe bercakap dalam sidang media selepas perlawanan.
Aksi seterusnya bakal dihadapi Selangor adalah pada Ahad nanti yang menyaksikan mereka menanti kunjungan Sri Pahang.