Baru-baru ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan dua pemain baharu telah dipanggil ke kem skuad kebangsaan bagi menggantikan tempat Syahmi Safari dan Dion Cools yang mengalami kecederaan.

Bagaimanapun, timbul persoalan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan adakah benar Dion Cools mengalami kecederaan apabila pemain itu didapati berada dalam senarai bangku simpanan skuad FC Midtjylland dalam dua perlawanan perlawanan berturut-turut.

Malah, pemain berdarah kacukan Malaysia-Belgium itu turut diturunkan pada minit ke 79 ketika perlawanan liga menentang AGF semalam.

Mengulas mengenai isu tersebut, pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menjelaskan Dion Cools masih dalam proses pemulihan dan belum cergas sepenuhnya.

Beliau hanya akan menyenaraikan pemain yang benar-benar cergas untuk diturunkan pada perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Jordan dan Uzbekistan minggu ini.

“FAM telah menerima makluman secara rasmi daripada pengarah sukan kelabnya bahawa Dion Cools mengalami kecederaan pada tulang pelvis dan ketua perubatan kelabnya meminta pemain berkenaan dikecualikan daripada panggilan skuad kebangsaan kali ini untuk dia dapat terus bersama dengan kelab bagi melakukan proses pemulihan supaya dapat kembali ke tahap sebelumnya.

“Itu maklum balas yang kita terima. Jadi kita tak boleh nak buat andaian yang bukan-bukan kerana ia adalah maklum balas secara rasmi daripada kelabnya kepada FAM.

“Saya tahu ramai yang tertanya-tanya kenapa kita tidak membawa Dion Cools ke Amman, Jordan dan sudah tentu dia belum pulih seratus peratus daripada kecederaannya itu. Memang satu kerugian kepada skuad kebangsaan tetapi sudah tentu kita mahukan setiap pemain itu berada pada tahap seratus peratus cergas dan bebas kecederaan.

“Ramai juga yang bertanyakan, kenapa dia boleh diturunkan pada perlawanan malam tadi bersama kelabnya. Kita tahu yang beliau dimasukkan pada 10 minit terakhir permainan itu adalah sebagai sebahagian daripada proses pemulihan untuk dia kembali mendapatkan semula tahap kecergasan terbaiknya.

“Jadi untuk kem latihan pusat kali ini, memang kita tidak akan menggunakan khidmat Dion Cools supaya beliau dapat meneruskan proses pemulihan kecederaan bersama kelabnya dan kita berharap apabila dia sudah pulih sepenuhnya nanti, kita akan dapat kembali menggunakan khidmatnya pada masa akan datang.” jelas Tan Cheng Hoe.

Harimau Malaya dijadualkan menentang Jordan pada hari rabu ini, 6 Oktober sebelum bertemu pasukan di ranking 84 dunia, Uzbekistan pada 9 Oktober 2021.

Dua perlawanan persahabatan itu merupakan medan terbaik buat Cheng Hoe menilai pemain yang dipanggil kali ini sebagai persiapan awal bagi membentuk skuad terbaik Harimau Malaya menjelang Piala Suzuki AFF 2020 dari 5 Disember 2021 hingga 1 Januari 2022 dan seterusnya Pusingan 3, Kelayakan Piala Asia 2023 pada tahun hadapan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad Harimau Malaya melalui pautan dibawah. 

Shahrul Nizam Gagal Lapor Diri Kerana Turun Ke Laut

Fayadh Zulkifli Amin Dipanggil Sertai Kem Latihan Pusat Harimau Malaya

Piala Suzuki AFF: Harimau Malaya Jumpa Vietnam Lagi