Aksi cemerlang pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Afiq Fazail ketika menentang Selangor dalam separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Shah Alam kelmarin telah berjaya memikat pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe.

Pemain yang berusia 25 tahun itu telah melakukan dua lorongan cantik kepada Safawi Rasid sekaligus membantu JDT menewaskan Selangor, 3-0 dan seterusnya melangkah ke pentas akhir Piala Malaysia dengan aggregat 5-1.

73539745_1481802911983003_8043715310018101248_n
FOTO: JST

Menurut laporan daripada Sports 247, Cheng Hoe kemungkinan akan memanggil pemain tersebut ke kem latihan pusat skuad kebangsaan bulan depan bagi menghadapi Thailand dan Indonesia dalam saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

“Afiq bukan sahaja pemain yang konsisten tetapi mampu membaca corak permainan. Dia sangat matang dan merupakan pemain yang penting untuk pasukan JDT. Dia sudah mendapat banyak pengalaman di peringkat antarabangsa ketika bersama JDT beraksi dalam kejohanan AFC Champions League,” katanya.

Afiq sebelum ini pernah menyarung jersi skuad Harimau Malaya ketika dibawah bimbingan Nelo Vingada dalam perlawanan menentang Korea Utara pada tahun 2017. Gandingan Afiq bersama Azam Azih serta Brendan Gan di bahagian tengah merupakan kombinasi paling mantap yang dinanti-nantikan oleh peminat bola sepak tempatan.

Mengulas mengenai pertemuan menentang Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 14 November depan, Tan Cheng Hoe terdesak untuk memastikan skuad Harimau Malaya meraih tiga mata penuh bagi menghidupkan peluang memburu tiket automatik ke Piala Asia 2023.

Malah, beliau turut melakukan ‘kerja rumah’ dengan terbang ke Bangkok untuk mengintip kekuatan Thailand ketika menentang UAE di Stadium Thammasat. Dalam perlawanan itu, skuad kendalian Akira Nishino melakar kejutan dengan menewaskan UAE, 2-1.

“Ya, mereka menang. Saya setuju skuad Thailand kali ini lebih berbeza dengan dibawah bimbingan jurulatih yang berbeza. Ada beberapa perubahan dalam corak permainan mereka. Fokus saya sekarang adalah untuk memastikan pemain cergas untuk perlawanan menentang Thailand dan Indonesia.

“Saya yakin dengan kemampuan pemain saya dan kami akan memastikan mereka cukup bersedia untuk mengalas cabaran ini. Ianya adalah untuk negara,” tambahnya.

Skuad Harimau Malaya dijadualkan menentang Tajikistan dalam perlawanan persahabatan antarabangsa pada 9 November sebelum menentang Thailand dan Indonesia. Kesemua perlawanan ini berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan skuad Harimau Malaya yang mungkin anda terlepas pandang.

Tan Cheng Hoe Beri Bayangan Tiada Rombakan Besar-Besaran Dalam Skuad Harimau Malaya

Ong Kim Swee Tidak Setuju Luqman Hakim Dipanggil Sertai Skuad Harimau Malaya

Tan Cheng Hoe Akui Jentera Serangan Skuad Harimau Malaya Gagal Berfungsi Dengan Baik

Sumber