Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan menempelak usaha ahli gabungan yang berusaha untuk menyingkirkan beliau dan mencari individu yang lain bagi menerajui persatuan tersebut.

Bibi menegaskan tidak perlu bersusah-payah untuk menggulingkan beliau sebaliknya Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) perlu membawa calon yang berwibawa untuk mengisi kerusi presiden KAFA. Bibi juga dengan rela hati akan melepaskan jawatan beliau.

bibi_ramjani

“Saya bukan orang politik, jadi PBJ selaku ahli gabungan tidak perlu beria-ia mahu gulingkan (usul undi tidak percaya).

“Lagipun mandat yang mereka (PBJ) berikan sebelum ini sah sehingga 2021,” katanya menurut laporan Kosmo.

Sebelum ini, seramai 7 ahli PBJ didakwa bakal mengemukakan usul undi tidak percaya bagi mendesak Bibi Ramjani berundur dari kerusi presiden KAFA. Surat desakan itu dijangka dihantar sejurus umat Islam selesai menyambut Hari Raya Aidilfitri pada 6 Jun depan.

Bibi menyatakan beliau sudah lama mahu berundur bagi memberikan laluan kepada individu yang benar-benar layak untuk mengemudi KAFA.

Setakat ini, hanya terdapat seorang calon iaitu ahli perniagaan berusia 31 tahun, Datuk Seri Amril Aiman Abdul Aziz yang dilihat bersungguh-sungguh mahu menjadi presiden KAFA.