Penyerang import pasukan Kuala Lumpur, Sylvano Comvalius sah meninggalkan pasukan ibu kota itu dan menyertai kelab yang beraksi dalam saingan Liga 1 Indonesia musim ini, Arema FC.
Perpindahan ini disahkan oleh Arema apabila mereka memuat naik gambar di laman media sosial rasmi pasukan yang menunjukkan Sylvano menandatangani kontrak. Penyerang kelahiran Belanda ini akan memakai jersi bernombor 99 bagi saingan musim 2019.
Resmi Sylvano ComvaLION diperkenalkan di media malam ini#aremania #aremafc #singoedan pic.twitter.com/Zf2pZzZFKp
— Arema FC (@AremafcOfficial) April 24, 2019
Ketika beraksi bersama The City Boys, Sylvano gagal untuk menampilkan prestasi terbaik dimana beliau hanya mampu menjaringkan satu gol dalam saingan Liga Super. Bekas penyerang Bali United ini nyata gagal untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Guilherme De Paula yang terpaksa berehat panjang akibat kecederaan.
Sylvano kemudiannya disisihkan apabila ketua jurulatih Kuala Lumpur ketika itu, Yusri Che Lah lebih gemar untuk menggunakan penyerang tempatan. Nasib Sylvano semakin malang apabila Guilherme pulih daripada kecederaan yang dialami dan kembali membarisi kesebelasan utama.
Sylvano Comvalius menandatangani kontrak selama dua tahun bersama Arema. Beliau akan bergandingan dengan seorang lagi pemain yang pernah beraksi di Liga Malaysia iaitu Makan Konate di bahagian serangan pasukan yang dijuluki “Singo Edan” itu.