Penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Ahmad Syihan Hazmi Mohamed pernah jadi bualan peminat bola sepak tempatan apabila beliau berdiri di depan pintu gol sambil membaca sesuatu sebelum perlawanan bermula.

Ada juga peminat mendakwa beliau membaca mantera khas untuk mengelakkan gawang daripada dibolosi dengan mudah.

Bagaimanapun, Syihan menafikan dakwaan itu dan menjelaskan ia sebenarnya bacaan zikir untuk keselamatan pasukan sepanjang perlawanan berlangsung.

Menurut penjaga gol berusia 27 tahun itu, zikir itu telah lama diamalkan sebelum beliau menyertai pasukan JDT lagi.

“Saya amalkan zikir Bismillahilladzi laa yadhurru ma’asmihi syai’un fil ardhi wa la fis samaa’i wahuwas sami’ul alim. Saya memang amalkan zikir ini supaya pasukan dilindungi.

“Ramai yang bertanyakan tentang ini dan malam ini saya beritahu,” katanya ketika menjawab soalan daripada peminat pada sesi meet and greet sempena pelancaran $JDT Fan Tokken semalam.

Syihan Hazmi

Sebelum ini, Syihan dalam satu temubual menjelaskan beliau sentiasa mengamalkan doa-doa yang dipesan oleh ibunya setiap kali masuk ke dalam padang.

“Itu bukan mantera, itu doa yang selalu mak saya pesan, apabila masuk padang sampai dekat gawang gol, bacalah doa. Minta dengan Allah, itu bukan mantera.

“Saya pun terkejut juga, orang cakap mantera apa ini. Itu bukan mantera, saya bawa doa-doa umi saya masuk ke dalam padang,” jelasnya.

Pemain kelahiran Kelantan itu beraksi dengan cukup cemerlang bersama JDT musim ini apabila hanya bolos 3 gol dalam 15 perlawanan Liga Super yang diharungi.

Malah, beliau juga kini pilihan utama Kim Pan Gon untuk menjaga gawang gol skuad Harimau Malaya dan berpeluang membuat penampilan di Piala Asia 2023 tahun depan.