Melalui satu kenyataan rasmi di laman sosial Facebook rasmi Johor Southern Tigers, kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim dengan jelas menyatakan hasrat untuk mendapatkan kembali Syazwan Andik bagi menghadapi musim 2019.
Pengarah Sukan Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim, Martin Prest menyatakan hasrat tersebut selepas Syazwan Andik berstatus ejen bebas, mereka mahu berbincang untuk Syazwan kembali menyarung jersi Harimau Selatan.
“Berikutan penamatan kontrak Syazwan Andik dengan Kuala Lumpur, yang menjadikannya seorang pemain ejen bebas, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) ingin mendapatkan pemain tersebut. Kami akan berbincang dengan Syazwan sama ada beliau mahu kembali ke Harimau Selatan. Kelab berharap dapat mencapai persetujuan bersama Syazwan secepat mungkin.”
Dalam laporan yang kami keluarkan semalam, Syazwan Andik telah menamatkan kontrak beliau bersama Kuala Lumpur FA selepas pasukan itu gagal menepati klausa dalam kontrak selepas gagal membayar gaji melebihi 1 kali.
Berdasarkan klausa 8.7, kontrak Syazwan Andik boleh ditamatkan tanpa sebarang bayaran pampasan atau dikenakan sebarang sekatan kesukanan jika pihak kelab gagal untuk membayar gaji lebih dari 1 kali.
Jika perkara ini berlaku (gagal dibayar gaji lebih dari 1 kali), pemain berhak untuk menulis surat kepada Setiausaha Kelab atau Pengurus menyatakan hasratnya untuk menamatkan kontrak (telah dilakukan oleh Syazwan Andik pada 9 Januari 2019).
Sejurus menyatakan hasrat untuk menamatkan kontrak, Syazwan Andik berhak untuk berunding dengan mana-mana kelab baru, TANPA PERLU mendapatkan kebenaran dari pihak Kuala Lumpur FA.
Dalam kes ini, Kuala Lumpur FA perlu melepaskan Sijil Perpindahan Pemain (SPN) tanpa sebarang syarat selepas kontrak itu ditamatkan serta tiada sebarang pampasan atau bayaran perpindahan boleh dikenakan kepada kelab baru yang disertai.