Switzerland menghidupkan semula cabaran Piala Dunia mereka selepas membelasah Bosnia-Herzegovina 4-1 pada Khamis, manakala Afrika Selatan mengekalkan talian hayat mereka dalam kejohanan itu hasil keputusan seri menentang Republik Czech.

Dengan selesainya pusingan pertama peringkat kumpulan, aksi hari Khamis bermula dengan beberapa pasukan berusaha mengesahkan slot ke pusingan 32 terakhir.

Switzerland, yang sekadar terikat seri 1-1 yang mengecewakan menentang Qatar dalam aksi pembukaan Kumpulan B, kembali meletakkan kempen mereka di landasan yang betul menerusi kemenangan meyakinkan ke atas Bosnia di Stadium SoFi, Los Angeles.

Johan Manzambi meledak dua gol manakala Ruben Vargas dan Granit Xhaka turut menemui sasaran dalam deretan gol lewat untuk Switzerland, yang kini mengimpikan untuk melangkah melepasi pusingan 16 terakhir buat kali pertama di Piala Dunia ini.

Switzerland kini mendahului kumpulan dengan empat mata dan kian hampir ke pusingan kalah mati.

Namun Bosnia, yang mengejutkan Itali dalam perlawanan penentuan untuk layak ke kejohanan tahun ini, kini berada di hujung tanduk susulan kekalahan parah yang menyaksikan mereka sekadar mengutip satu mata daripada dua perlawanan.

Dalam perlawanan lain pada Khamis, Afrika Selatan, yang menyaksikan dua pemainnya dibuang padang ketika tewas hambar 2-0 kepada Mexico dalam Kumpulan A minggu lalu, menghidupkan semula harapan tipis mereka untuk layak menerusi keputusan seri 1-1 menentang Republik Czech di Atlanta.

Sepakan penalti Teboho Mokoena membantu Afrika Selatan meraih satu mata selepas Michal Sadilek terlebih dahulu membuka tirai jaringan untuk Republik Czech.

Namun, sepakan penalti lewat Mokoena mengekalkan peluang kedua-dua pasukan untuk merebut slot ke pusingan 32 terakhir, walaupun mereka hampir pasti perlu memenangi perlawanan terakhir Kumpulan A untuk mara.

Kedua-dua pasukan kini mengumpul satu mata, ketinggalan dua mata di belakang penganjur bersama, Mexico dan Korea Selatan, yang akan berentap sesama sendiri lewat Khamis ini.

Afrika Selatan seterusnya akan menentang Korea Selatan, manakala skuad Czech berdepan tugas getir menentang Mexico di Estadio Azteca.

Keputusan seri Afrika Selatan bermakna Mexico boleh memastikan tempat pertama dengan kemenangan ke atas Korea Selatan pada lewat Khamis.

Kedua-dua pasukan Korea Selatan dan Mexico memenangi perlawanan pembukaan peringkat kumpulan masing-masing minggu lepas, dan bakal bertemu dalam perlawanan yang berpotensi menjadi penentu kumpulan di Guadalajara yang kini diselubungi misteri selepas pihak berkuasa Mexico menjatuhkan sebuah dron yang dikesan berlegar-legar di atas kem latihan Korea Selatan awal minggu ini.

Pelepasan visa buat Wahi

Di luar padang, penyerang Ivory Coast, Elye Wahi, telah dibenarkan memasuki Kanada untuk perlawanan negaranya menentang Jerman pada Sabtu, selepas pada mulanya dinafikan visa berhubung dakwaan mengatur perlawanan, kata sumber yang rapat dengan pemain itu.

Persekutuan Bola Sepak Ivory Coast (FIF) sebelum ini mengumumkan bahawa Wahi akan terlepas perlawanan di Toronto.

Sumber itu memberitahu AFP bahawa pihak berkuasa Kanada telah menangguhkan kelulusan visa Wahi selepas meminta maklumat lanjut mengenai situasi undang-undangnya, sebelum akhirnya meluluskan kemasukan beliau.

Beberapa media melaporkan bahawa Wahi telah disoal siasat oleh pendakwa raya Perancis berhubung syak wasangka mengatur perlawanan dalam satu aksi Ligue 1 ketika beliau beraksi untuk Nice.

Kes berkenaan berkisar tentang kad kuning yang diterima Wahi ketika keputusan seri 0-0 menentang Metz pada pertengahan Mei, selepas pihak berkuasa pertaruhan mengesan jumlah pertaruhan yang luar biasa diletakkan ke atas pemain berusia 23 tahun itu untuk dilayangkan kad amaran.