Pemain skuad kebangsaan Thailand, Supachok Sarachat sah menyertai kelab Jepun, Hokkaido Consadole Sapporo secara pinjaman selama enam bulan sekaligus meneruskan legasi yang dicipta oleh Chanathip Songkrasin.
Perkara ini diumumkan oleh Buriram United menerusi laman media sosial rasmi pasukan dimana Supachok menandatangani kontrak pinjaman selama enam bulan dan beliau mempunyai pilihan untuk melanjutkan tempoh pinjaman selama enam bulan dan juga kontrak tetap sekiranya beraksi dengan baik bersama Consadole.
Pengerusi Buriam, Newin Chidchob nyata teruja apabila Supachok menyertai Consadole dimana pemain itu boleh meningkatkan kualiti serta tahap permainan kerana beraksi di saingan yang lebih baik berbanding Liga Thailand.
“Ini peluang yang baik bagi Supachok untuk menunjukkan kemampuan dan membuktikan kebolehannya dengan beraksi di liga yang lebih baik berbanding Liga Thailand. Ini merupakan langkah yang penting baginya dalam karier profesional beliau.
“Saya percaya pengalaman yang bakal diraih nanti boleh membantu skuad kebangsaan Thailand di peringkat antarabangsa,” kata Newin.
Selain meminjamkan Supachok Sarachat, Buriram juga menandatangan perjanjian dengan Consadole dimana kedua-dua kelab ini akan saling membantu dari segi pembangunan bola sepak, akademi dan juga mempromosikan bandar Buriram dan juga Sapporo untuk meningkatkan industri pelancongan di bandar tersebut.
Consadole mendapatkan khidmat Supachok setelah mereka kehilangan pemain bintang pasukan yang juga dari Thailand, Chanathip Songkrasin yang berhijrah dengan menyertai juara Liga Jepun musim lalu iaitu Kawasaki Frontale.
Kawasaki Frontale membayar yuran perpindahan sebesar JPY500 juta atau RM18.17 juta bagi mendapatkan khidmat Chanathip sekaligus menjadi antara perpindahan termahal dalam saingan Liga Jepun.
Chanathip menilai Supachok sudah bersedia untuk beraksi di luar negara sekaligus meningkatkat lagi kualiti permainan serta menimba pengalaman dengan beraksi di liga yang lebih baik.
“Ramai pemain Thailand sudah bersedia untuk meningkatkan tahap permainan dan semua bergantung kepada peluang yang diterima. Siapa yang patut beraksi di luar negara? Supachok Sarachat adalah pilihan saya. Saya rasa dia sudah bersedia,” kata Chanathip.
Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan bola sepak Asia di sini:
Zhafri Yahya Akui Gol Lawan Penang Yang Tercantik Pernah Dihasilkan