Skuad bola sepak India kali ini bawa barisan terkuat ke Malaysia bagi menghadapi Pestabola Merdeka 2023 yang bermula pada 13 Oktober ini di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

India memerlukan barisan terbaik mereka untuk kejohanan kali ini sebagai persiapan menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2026 yang bakal berlangsung bulan November depan.

Malah, mereka turut menyenaraikan pemain lagenda dan penyerang prolifik negara itu, Sunil Chhetri yang tidak beraksi dalam saingan Kings Cup di Thailand bulan lepas.

Walaupun pasukan itu sudah pun tiba di ibu negara, Sunil berangkat hari ini bersama seorang lagi tonggak India, Sandesh Jhingan kerana turut terlibat dalam Sukan Asia Hangzhou mewakili skuad bawah 23 tahun India (B-23) minggu lepas.

Kebanyakan pemain yang dipilih oleh ketua jurulatih, Igor Stimac beraksi dalam Liga Super India dan turut diperkuatkan oleh beberapa pemain muda sedang meningkat naik seperti Liston Colaco, Jeakson Singh dan Anwar Ali.

Pemenang antara aksi Malaysia bertemu India akan mara ke final Pestabola Merdeka 2023 menentang Tajikistan pada 17 Oktober selepas Palestin mengesahkan penarikan diri.

Pestabola Merdeka dijadikan sebagai medan persediaan untuk skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon yang bakal beraksi dalam temasya Piala Asia 2023 di Qatar tahun depan.

Ia merupakan kejohanan bola sepak jemputan tertua di Asia yang diadakan dengan tujuan untuk meraikan ulang tahun kemerdekaan Malaysia.

Barisan pemain skuad India

Penjaga Gol: Gurpreet Singh Sandhu, Amrinder Singh, Vishal Kaith and Dheeraj Singh.

Pertahanan: Nikhil Poojary, Roshan Singh, Sandesh Jhingan, Anwar Ali, Mehtab Singh, Lalchungnunga, Akash Mishra and Subhasish Bose.

Tengah: Jeakson Singh, Suresh Singh, Anirudh Thapa, Rohit Kumar, Sahal Abdul Samad, Brandon Fernandes, Lallianzuala Chhangte, Udanta Singh, Vikram Pratap Singh, Mahesh Singh Naorem, Liston Colaco and Nandhakumar Sekar.

Penyerang: Sunil Chhetri and Manvir Singh.