Ketua jurulatih skuad Malaysia bawah 22 tahun (B-22), Datuk Ong Kim Swee dijangka akan mengumumkan senarai akhir 20 pemain yang dipilih mewakili negara dalam temasya Sukan SEA 2019 di Filipina petang ini.

Bagaimanapun, nasib pemain Sporting Kansas City, Wan Kuzain Wan Kamal menjadi tanda tanya dalam kalangan peminat bola sepak tempatan sama ada beliau turut disenaraikan apabila urusan dokumentasi dan pasportnya dilaporkan masih belum selesai.

Mengulas mengenai isu tersebut, Kim Swee menjelaskan pengesahan tersebut hanya akan diketahui pada hari ini setelah mereka mendapat maklumat lanjut mengenai urusan pendaftaran pemain tersebut.

“Masih belum ada keputusan tentang Wan Kuzain, di mana hanya esok saya akan maklumkan tentang situasi beliau. Tetapi beberapa isu lagi perlu kita selesaikan sehingga esok dan saya harap jika semuanya berjalan lancar, kita dapat menyenaraikan beliau. Jika tidak kita terpaksa melupakan Wan Kuzain,” jelas Kim Swee

74607602_2514169558679793_661276606823661568_o
FOTO: FAM

Seramai 32 pemain berada dalam kem latihan pusat dan Kim Swee hanya memberi keutamaan kepada pemain yang mempunyai kelebihan beraksi di beberapa posisi berbeza untuk berada dalam senarai akhir.

“Senarai 20 pemain untuk saya namakan agak mencabar. Ia berbeza dengan Kejohanan AFC di mana 23 pemain dibenarkan, jadi saya harus melihat daripada segi keseimbangan dan kedalaman di beberapa posisi.

“Saya perlu mengambil pemain yang boleh beraksi dalam dua atau tiga posisi untuk memberi ruang berehat mengikut jadual di Manila.

“Pemain yang boleh bermain dalam dua posisi merupakan kelebihan dan saya perlu lihat posisi mana yang saya perlu tampung bagi mendapatkan pemain berlebihan di posisi tersebut,” katanya.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan pasukan bola sepak Sukan SEA 2019 melalui pautan dibawah.

Luqman Tekad Rebut Tempat Dalam Skuad Sukan SEA 2019

Akira Nishino: Thailand Tidak Akan Daftarkan Pemain Senior Dalam Skuad Sukan SEA 2019

Singapura Umum Senarai Akhir 20 Pemain Ke Sukan SEA 2019