Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam menegaskan bahawa pihaknya tidak mengamalkan sikap berat sebelah terhadap mana-mana pihak dalam menjatuhkan hukuman.

Memetik sumber dikeluarkan Bernama, prinsip tersebut adalah penting bagi FAM dalam usaha terus memelihara keharmonian bola sepak tempatan.

Ia juga bagi menepis dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan FAM bertindak berat sebelah dalam menjatuhkan hukuman kepada para pemain.

Sehubungan dengan itu, Stuart turut mendedahkan bahawa tiada tekanan daripada mana-mana pihak bagi setiap keputusan yang diambil Jawatankuasa Tatatertib FAM.

“Kalau kita mengikut tekanan daripada netizen setiap perlawanan perlu kita ambil tindakan, saya rasa FAM tidak begitu,” ujar Stuart menurut laporan Bernama.

“Segala yang dilaporkan FAM dan tindakan ke atas pengadil atau pemain semua diterangkan dengan jelas, tiada apa yang disembunyikan.”

“Tugas FAM untuk kekal tidak berat sebelah kepada mana-mana pihak atau dalam apa jua situasi, kita ambil kedudukan tengah untuk memastikan keputusan dibuat dengan betul,” tambah Stuart Ramalingam lagi.

Saingan Liga Super dan Liga Perdana Malaysia 2021 baharu sahaja memasuki perlawanan ke-10 tetapi sudah banyak insiden melibatkan sentuhan dilakukan pemain terhadap pengadil bertugas sehingga menyebabkan perkara itu menjadi perdebatan hebat.

Susulan dengan keadaan tersebut, Stuart sebelum ini menjelaskan pemain yang melakukan sentuhan terhadap pengadil tidak semestinya melakukan kesalahan ataupun ada provokasi yang dilakukan.

Penjelasan yang sudah pastinya mendapat kecaman daripada para penyokong bola sepak tempatan dan sudah pastinya wujud tohmahan melibatkan isu berat sebelah.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia di sini:

Stuart Ramalingam – Pemain Sentuh Pengadil Tidak Semestinya Satu Kesalahan Atau Provokasi

UiTM Beri Peluang Kedua Kepada Frank Bernhardt Kendalikan Pasukan

Nasir Basharudin: Disiplin Tinggi, Kurang Kesilapan Jadi Kunci Kemenangan Terengganu

 

 

 

 

Sumber