Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam menjelaskan faktor utama mengapa nilai tajaan yang masuk ke dalam badan tersebut tidak didedahkan kepada umum.

Baca Juga:

Dalam satu temu bual baru-baru ini, Stuart menjelaskan mengapa nilai tajaan tidak didedahkan kerana keputusan korporat yang dipersetujui oleh penaja dan MFL.

“Itu adalah keputusan korporat dari MFL. Kami memberitahu nilai tajaan yang diterima kepada pasukan bertanding sebagai pemegang taruh.

Stuart Ramalingam
Sumber Gambar: MFL

“Dari segi penaja sebagai badan korporat, pemberitahuan mengenai nilai tajaan bagi mereka adalah satu perkara yang sensitif. Seperti contoh, mungkin nilai tajaan terhadap MFL lebih tinggi berbanding tajaan mereka ke badan atau sukan lain.

“Perkara ini boleh menimbulkan rasa tidak puas hati pihak lain. MFL menjaga pendekatan sama ada boleh beritahu atau tidak mengenai nilai tajaan.

“Semua keputusan terpulang kepada penaja kerana mereka yang memberi wang kepada kami. MFL hanya ikut apa keputusan penaja,” kata Stuart Ramalingam.

Baru-baru ini, BubblesO2 diumumkan sebagai rakan penaja baharu MFL bagi saingan Liga Malaysia musim 2023 selepas menandatangani kontrak perjanjian selama setahun hari ini.

Air mineral beroksigen semula jadi pertama di Malaysia yang mula diperkenalkan pada 19 April 2019 itu bakal menjadi minuman premium rasmi Liga Malaysia buat kali pertama sekaligus akan membantu proses metabolisma dengan lebih baik buat semua pemain bola sepak profesional selepas ini.

Selain BubblesO2, beberapa syarikat lain turut menjadi penaja kepada pengelola liga domestik itu seperti Origia, Colgate, Pos Malaysia, dan Puma.

Astro dan RTM bakal menjadi penyiar rasmi untuk saingan Liga Super 2023 dimana Astro menandatangani kontrak selama tiga tahun.