Pasukan pilihan juara, KL Thunder terus gah berada di puncak kempen Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2023 apabila menundukkan Negeri Sembilan Antlers pada aksi minggu kelima yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi.

Baca Juga:

Kemenangan ‘straight set’ 21-15, 21-15 itu sekali gus menghadiahkan KL Thunders kemenangan ke-11 berturut-turut pada musim ini untuk selesa meninggalkan sembilan pasukan lain.

Meskipun dibarisi pemain kebangsaan iaitu Syahir Rosdi selaku tekong manakala Mohd Khairol Zaman Hamir Akhbar pula bertindak sebagai perejam dan Amirul Zazwan Amir (pengumpan) tidak diberikan laluan mudah oleh trio Muhammad Haziq Hairul Nizam (tekong), Mohd Hafizul Hayazi Adnan (perejam) serta Mohd Syazreen Qamar Salehan.

Malah, servis Syahir yang sebelum ini menimbulkan kegusaran buat pemain lawan juga tidak begitu membantu KL Thunder terutamanya pada set pertama.

Namun, pengalaman dalam menyerap tekanan jelas memihak trio tersebut untuk memastikan set pertama menjadi milik mereka dengan kemenangan 21-15.

Set kedua juga memperlihatkan tekanan hebat diberikan gandingan Negeri Sembilan pada peringkat awal tetapi servis Syahir pada lewat aksi cukup bertenaga bagi mengesahkan kemenangan ke-11 buat KL Thunder.

Tiga perlawanan akan dihadapi KL Thunder pada minggu keenam bermula 7 Julai yang menyaksikan pertemuan menentang KPT Masuk Knights, Bomba Fighters (8 Julai) dan Penang Black Panthers berselang sehari kemudian.

Manakala, Negeri Sembilan Antlers masih mempunyai satu lagi perlawanan pada malam esok iaitu bertemu Perak Bison.