Perak Bison mengesahkan mahkota kejuaraan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2023 menjadi milik mereka selepas menewaskan KPT-MASUM Knight pada aksi terakhir yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur sebentar tadi.

Artikel Berkaitan:

Hanya memerlukan kemenangan pada perlawanan ini untuk dinobatkan selaku juara, anak buah Suhairi Abd Aziz bagaimanapun tidak diberikan laluan mudah.

Ia dibuktikan apabila KPT MASUM Knight yang membuat penampilan sulung dalam kempen STL berjaya mencuri set pertama dengan kemenangan 21-19.

Set kedua juga menyaksikan barisan pemain muda itu memberikan cabaran sengit terutamanya pada peringkat awal permainan.

Namun, Perak Bison yang diperkuatkan oleh Meor Zulfikar Mat Amin (masuk menggantikan Jakkrit Tinbangbon), Noraizat Nordin dan Aidil Aiman Azwawi lebih tenang menyerap tekanan KPT-MASUM Knight untuk menang 21-16 sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.

Mendapat sokongan padu peminat setia yang hadir memberikan semangat seperti kebiasaan jelas menjadi tonik berguna buat Perak Bison untuk menghadapi set ketiga.

Sokongan itu dibalas dengan kemanisan apabila pemain Perak Bison tampil dengan lebih baik untuk memenangi perlawanan 21-14 bagi memastikan gelaran juara menjadi milik mereka.

Ia merupakan kejuaraan kedua dimenangi oleh Perak Bison selepas melakukannya pada edisi 2019.

Cabaran Perak Bison akan diteruskan pada petang esok apabila bakal beraksi dalam saingan Challenge Cup dimana menampilkan tiga pasukan teratas Liga Premier dan juara divisyen satu, PDRM.