Rakan Kongsi Liga Malaysia menganggap peningkatan agihan pendapatan kepada 14 pasukan Liga Super musim ini sebagai satu suntikan semangat untuk mereka berusaha mengejar kedudukan terbaik.
Baca Juga:
- Stanley Bernard Bakal Tinggalkan Kuala Lumpur City
- Stanley Bernard: Pengalaman Luas Stuart Ramalingam Mampu Perkukuhkan Aspek Komersial Liga M
- Giancarlo Gallifuoco Tidak Menyesal Sertai KL City
Malaysian Football League (MFL) kali pertama pada tahun ini memperkenalkan agihan pendapatan secara merit mengikut kedudukan teratas sehingga kelab yang berada di tempat ke-14 Liga.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Lumpur City FC, Stanley Bernard, mata yang diraih dalam setiap perlawanan selepas ini sangat berharga bukan sahaja untuk memberi kepuasan tetapi turut melibatkan jumlah nilai pendapatan yang bakal diperoleh pasukan.
Ini secara tidak langsung akan menambahkan lagi motivasi kepada barisan pemain untuk meletakkan sasaran lebih tinggi bagi menamatkan saingan liga di kedudukan terbaik.
“Saya rasa ini adalah motivasi yang besar kepada pasukan sebab sekarang setiap kelebihan tiga mata itu sangat penting.
“Setiap kedudukan dalam liga selepas ini akan menjadi semangat baharu kepada pasukan dan secara tidak langsung akan meningkatkan lagi hala tuju pasukan pada masa hadapan.
“Sebelum ni kita tahu apabila hari terakhir perlawanan, semuanya melibatkan maruah pasukan untuk mendapatkan kemenangan.
“Tetapi sekarang bukan hanya maruah, tapi setiap satu tangga kedudukan itu ada nilainya sendiri dan lagi tinggi kedudukan, lagi tinggilah nilai yang kita akan dapat”, katanya.
Seperti dilaporkan sebelum ini, Presiden MFL Dato’ Ab Ghani Hassan berkata, peningkatan agihan pendapatan kepada semua kelab Liga Super musim ini adalah satu petanda positif terhadap perkembangan Liga Malaysia.