Pihak MFL akan melakukan pemeriksaan buat kali kedua dalam minggu ini begi mengukur tahap kesediaan Stadium Shah Alam untuk menghadapi saingan Liga Malaysia 2020 dan pastinya kerosakan bumbung menjadi fokus utama.
Menurut laporan yang diterbitkan oleh BERNAMA, Mohd Fahmi Mohd Nordin selaku Pengurus Pembangunan Perniagaan Darul Ehsan Facilities management (DEFM) menjelaskan pemeriksaan tersebut akan melibatkan DEFM selaku pihak yang menguruskan stadium, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan Malaysian Football League (MFL).
Mohd Fahmi menjelaskan pemeriksaan sebelum ini yang dijalankan oleh pihak MFL tidak menyentuh aspek kerosakan bumbung, sebaliknya lebih memberikan tumpuan kepada penambahbaikan permukaan padang serta keadaan bilik persalinan pemain.
“Kita (DEFM) akan ada satu lagi pemeriksaan dengan MFL dan FAS dalam beberapa hari ini, jadi kita tunggu dan lihat apa ketetapan bakal dibuat. Mengenai pemeriksaan sebelum ini, ia lebih kepada spesifikasi lain dan MFL tidak memberi sebarang maklum balas berkaitan bumbung,” katanya lagi.
Pasukan Selangor berisiko untuk tidak dibenarkan beraksi di Stadium Shah Alam selepas pemeriksaan awal mendapati ada beberapa perkara yang tidak mencapai standard yang ditetapkan.
Dalam artikel yang diterbitkan semalam, Ketua Pegawai Operasi MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd menyatakan bahawa mereka telah mengemukakan cadangan penambahbaikan selepas pemeriksaan awal kepada FAS bagi melakukan kerja-kerja baik pulih stadium termasuk masalah bumbung dengan segera.
Semua venue membabitkan aksi Liga Malaysia musim ini perlu mendapatkan kelulusan dengan menepati tahap piawaian ditetapkan, sekurang-kurangnya seminggu sebelum sepak mula pada 28 Febuari 2020.
Bagaimanapun, kini timbul persoalan mengenai status Stadium Shah Alam selepas Mohd Fahmi mengesahkan kerja-kerja baik pulih stadium tidak dapat dilakukan sebelum liga bermula.
Mohd Fahmi berkata pihaknya (DEFM) hanya boleh memberikan jaminan dari segi pemantauan rapi terhadap tahap keselamatan penonton sehingga kerja-kerja baik pulih bermula, sekiranya Selangor dibenarkan menggunakan stadium itu.
“Masalah kerosakan bumbung menjelang pembukaan liga musim ini memang tiada sebarang penambahbaikan akan dilakukan, tetapi kita akan membuat pemantauan rapi dari semasa ke semasa terutama jika cuaca ribut,” katanya.
Baca juga artikel lain berkaitan bola sepak Malaysia yang telah kami sediakan untuk anda sebagai rujukan.
Selangor Berdepan Risiko Tidak Dibenarkan Beraksi Di Stadium Shah Alam Atas Faktor Keselamatan