Pasukan Selangor berdepan dengan risiko tidak dibenarkan beraksi di Stadium Shah Alam bagi saingan Liga Malaysia 2020, akibat masalah kerosakan bumbung stadium yang dilihat mengancam keselamatan penonton yang hadir.
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh BERNAMA hari ini, Ketua Pegawai Operasi (COO) MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd menyatakan cadangan penambahbaikan selepas hasil pemeriksaan sebelum ini sudah pun dimaklumkan kepada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) untuk melakukan kerja-kerja baik pulih dengan segera.
Beliau juga turut menjelaskan bahawa semua venue perlawanan Liga Malaysia 2020 perlu mencapai tahap piawaian yang telah ditetapkan sekurang-kurangnya seminggu sebelum sepak mula (28 Febuari 2020), atau pasukan Selangor akan berisiko dilarang menggunakan Stadium Shah Alam sebagai venue tuan rumah musim ini.
“Kita telah membuat semakan kerosakan ketika melakukan pemeriksaan pertama dan pihak FAS telah dimaklumkan untuk memberi perhatian serius kepada aspek bumbung dan padang. Kalau mereka tidak buat (baiki), stadium itu tidak akan diluluskan.
“Tetapi saya difahamkan Selangor sedang dalam proses memastikan perkara itu dibaik pulih dan sebarang penambahbaikan akan dibuat. Seminggu sebelum liga bermula kita (MFL) akan mengemas kini status venue pertandingan untuk musim ini,” katanya.
Mohd Shazli dalam pada itu turut berkata beberapa buah venue juga sudah mendapat kelulusan hasil pemeriksaan awal sebelum ini.
Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon yang sedia maklum mengenai kerosakan stadium itu bagaimana pun menafikan pihaknya diminta segera mengatasi masalah tersebut sebelum saingan liga bermula.
“Secara jujurnya, saya tidak tahu mengenai pemeriksaan tersebut dan juga pemintaan mereka untuk kami (FAS) perbaiki. Setakat ini kami tidak mempunyai sebarang rancangan untuk Stadium Shah Alam dari segi pembaikan padang dan juga bumbung, sebab kami tidak mempunyai kapasiti dan sumber untuk membuat apa-apa di situ.
“Tetapi saya tahu yang Darul Ehsan Facilities Management (DEFM) telah mengeluarkan satu tender untuk pembaikan bumbung beberapa bulan lepas, jadi mereka sedang dalam proses untuk membaiki stadium, tetapi FAS memang tidak terlibat dalam hal ini,” katanya.
Dr Johan juga menjelaskan bahawa Selangor akan memberi kerjasama sekiranya diminta untuk menggunakan gelanggang lain pada musim ini.
Pada Kejohanan Selangor Asia Challenge (SAC) 2020, bulan lepas, keadaan Stadium Shah Alam mendapat perhatian pelbagai pihak, terutama dalam soal padang dan bumbung bocor, yang menyebabkan serpihan bumbung stadium jatuh di kawasan penonton.
Baca juga artikel lain berkaitan bola sepak Malaysia yang telah kami sediakan untuk anda sebagai rujukan.
Eksklusif: Jurulatih Dari Malaysia Ini Cerita Pengalamannya Mengendalikan Kelab Liga Indonesia
Khalid Ali Sokong Kemasukan Liridon Krasniqi Sebagai Pemain Naturalisasi Harimau Malaya