Kelab Bola Sepak Sri Pahang (SRP) mampu memberi saingan sengit dalam Liga Malaysia musim ini apabila mereka mengumumkan kemasukan dua pemain baharu bagi memperkuat jentera serangan pasukan itu.
Baca Juga:
- Izham Tarmizi Mahu Manfaat Peluang Dipinjamkan Ke Sri Pahang
- Sah Milik Sri Pahang, Fadhli Shas Kembali Berganding Dengan Muslim Ahmad
- Tiada Lagi Kelibat Lee Tuck Bersama Sri Pahang Musim Depan
Dua pemain yang dimaksudkan ialah pemain import dari Liberia, Kpah Sherman dan pemain sayap skuad kebangsaan, Shamie Iszuan. Difahamkan Kpah telah menandatangani kontrak selama semusim manakala Shamie menyertai Tok Gajah dengan kontrak 2 tahun.
Sherman yang beraksi bersama Terengganu FC musim lepas merupakan bekas penjaring terbanyak Liga Super 2019. Sejak berada dalam Liga Malaysia, beliau telah membuktikan dirinya sebagai antara penyerang berkualiti ‘kaki gol’ dengan meledak keseluruhan 72 gol bersama MIFA, PKNS, Kedah dan Terengganu.
Kpah perkasa serangan tok gajah!
Sri Pahang berbesar hati memperkenalkan pemenang kasut emas Liga Super 2019, Kpah Sherman sebagai wajah baru di barisan serangan. pic.twitter.com/Jif3fjAxhF
— Sri Pahang FC (@OfficialPahang) January 17, 2023
Dengan ketajaman penyudah yang dimiliki Sherman, ketua jurulatih Sri Pahang, Fandi Ahmad kini mempunyai jentera serangan yang cukup padu musim ini.
Ini kerana Sherman dijangka akan berganding dengan penyerang import dari Brazil, Lucas Silva yang menyarung jersi Penang FC musim lepas dan pernah menjadi penjaring terbanyak Liga Hong Kong.
Manakala Shamie bakal merupakan tonggak utama Sarawak United musim lalu dan baru-baru ini telah beraksi bersama skuad Harimau Malaya di Piala AFF Mitsubishi Electric 2022. Beliau juga sempat diturunkan dalam perlawanan separuh akhir pertama menentang Thailand dan membantu pasukan mencatat kemenangan 1-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Dengan kelincahan dan aksi licik Shamie, ia dijangka akan membantu Tok Gajah mempelbagaikan lagi corak serangan sehingga memberi masalah kepada benteng pertahanan lawan.
Selamat datang Nur Shamie Iszuan ke Darulmakmur!
Kelab berbesar hati mengumumkan telah mengikat pemain sayap kanan dari Kuching ini dengan kontrak dua tahun. pic.twitter.com/lxnEmRE8hu
— Sri Pahang FC (@OfficialPahang) January 17, 2023
Selain Kpah Sherman dan Shamie Iszuan, Sri Pahang turut mengumumkan dua pemain yang bersama skuad kebangsaan baru-baru ini iaitu David Rowley dan Sergio Aguero telah menandatangani kontrak lanjutan untuk kekal bersama pasukan itu.
Dengan kehadiran pemain berpengalaman termasuk tiga pemain pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT), ia diyakini membantu membentuk skuad Tok Gajah yang lebih mantap musim ini.