Skuad Tok Gajah terus mencatat kekalahan ke 4 dalam saingan Liga Super musim ini apabila tewas 1-3 kepada Kedah Darul Aman (KDA FC) sebentar tadi.

Segalanya serba tidak menjadi buat Sri Pahang apabila dipaksa bermain dengan 10 orang selepas kapten pasukan, Herold Goulon dilayangkan kad merah pada minit ke 17 kerana didakwa mengasari Kpah Sherman.

Situasi itu menyebabkan pengendali pasukan, Dollah Salleh membuat pertukaran pertama dengan memasukkan Jadid Ilias menggantikan tempat Hafiz Ramdan untuk memperkuatkan benteng pertahanan.

Kedah terus mengandakan asakan dan kelicikan Rabih Ataya serta kelajuan Kpah Sherman  jelas memberi masalah kepada benteng pertahanan Sri Pahang.

Hasilnya mereka berjaya menjaringkan gol pertama menerusi rembatan dari luar kotak penalti daripada Badrol Bakhtiar pada minit ke 37 selepas menerima hantaran daripada Kipre Tchetche.

168013381_170871524874206_4514941012812260322_n
FOTO: KDA FC

Tersentak dengan jaringan itu, Sri Pahang bangkit mengatur gerakan dan mereka memperolehi beberapa peluang keemasan namun dikecewakan oleh penyudah yang tumpul oleh Yevhen Bokhasivili.

Nama Azam Azih menjadi sebutan oleh para peminat bola sepak tempatan malam ini apabila melakukan satu lorongan cantik kepada Nur Izzat untuk jaringan penyamaan Sri Pahang pada minit ke 37. Keputusan 1-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki separuh masa kedua, Kedah tidak membuang masa untuk terus mengasak ke kubu Sri Pahang dan mereka berjaya memperolehi sepakan penalti pada minit 46. Sepakan penalti itu diberikan selepas Faisal Rosli didapati telah mengasari Kpah Sherman.

Kedudukan berubah kepada 2-1 selepas Kpah Sherman menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke 48 sekaligus membangkitkan semangat tuan rumah untuk memburu jaringan ketiga.

Sri Pahang juga berpeluang menyamakan kedudukan menerusi percubaan berbahaya Lee Tuck dan Baqiuddin namun tersasar. Pada minit ke 71, Kedah sekali lagi menambah derita pelawat apabila menjaringkan gol ketiga melalui sepakan sudut yang gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol Sri Pahang, Zarif Irfan.

167044722_170863674874991_5942439853418490987_n
FOTO: KDA FC

Jaringan itu turut melemahkan semangat anak buah Dollah Salleh ditambah pula dengan kegagalan Lee Tuck menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke 89 yang sepatutnya menghasilkan gol kedua untuk Sri Pahang.

Perlawanan berakhir dengan keputusan 3-1 dan Kedah mengukuhkan kedudukan di tangga kedua dengan  13 mata manakala Sri Pahang terus menghuni  kedudukan tercorot selepas 6 perlawanan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah. 

JDT Kembali Nikmati Kemenangan, Jadikan Melaka United ‘Mangsa’

Penjaga Gol Utama Terengganu, Rahadiazli Disahkan Mengalami Kecederaan ACL

Natxo Insa Digantung Satu Perlawanan Dahulu Dan Baki Satu Lagi Perlawanan Tertakluk Kepada Kelakuan Baiknya

Subkhiddin Salleh: “Hukuman Terhadap Jack Hindle Sesuatu Yang Melucukan”