Semua pemain dan pegawai setiap pasukan perlu bersama-sama berganding bahu dan bersatu hati untuk menjaga Prosedur Operasi Standard (SOP) demi memastikan kelangsungan Liga Malaysia musim ini tidak terjejas gara-gara pandemik COVID-19.

Beberapa pemain yang telah menyatakan komitmen untuk mematuhi SOP di bawah ‘home quarantine’ turut berharap rakan-rakan dari pasukan lain turut bersama-sama memikul amanah demi memastikan tiada kes jangkitan COVID-19 boleh menular sepanjang saingan Liga Malaysia berlangsung.

Pemain Pulau Pinang, Abdul Latiff Suhaimi mengakui, SOP terbaharu kali ini sedikit berbeza namun demi memastikan kelangsungan Liga Malaysia, dia akan sedaya upaya mengikuti arahan yang ditetapkan selain menyeru semua pihak ada kesedaran yang sama.

“Saya nasihatkan bukan sahaja untuk diri saya tetapi kepada rakan-rakan sepasukan serta pasukan lain, yang berada dalam arus yang sama dan pihak pengurusan, janganlah kita ambil mudah dan langgar SOP.

“Kalau seorang terkena jangkitan COVID-19, peluang untuk orang lain terjangkit juga tinggi dan pasti berkara ini memberikan kesan kepada Liga Malaysia di mana ramai pihak yang harapkan dapat kembali bermula.

“Ikut sahaja SOP yang telah ditetapkan MKN jika sayangkan bola sepak kita selain memastikan perjalanan liga kita musim ini dapat dijalankan semua perlawanan Liga Super selain saingan Piala Malaysia,” katanya.

Sementara itu, pemain UiTM FC, Afif Asyraf Mohamad Zabawi tidak menafikan SOP kali ini menuntut disiplin yang tinggi daripada pemain dan pasti memerlukan masa untuk membiasakan diri dengan norma baharu ini.

Tambahnya, apa yang mustahak peluang telah diberikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk semua pasukan turun berlatih bermula pada 15 Februari lalu dan dia selaku pemain, sudah tidak sabar untuk turun beraksi.

“Semua orang tengah cuba hendak sesuaikan diri dengan SOP baharu ini kerana hanya dibenarkan dari rumah ke tempat latihan, kemudian dari tempat latihan, kena terus balik ke rumah.

“Ini jelas satu norma baharu yang perlu dilalui namun saya rasakan tiada masalah buat pemain-pemain bagi ikuti SOP ini sebaik mungkin. Peluang telah diberikan dan kami akan gunakan masa yang ada untuk pastikan pasukan bersedia hadapi liga.

“Dalam latihan juga buat masa ini kami masih berikan fokus kepada aspek kecergasan buat masa ini dan biarpun persiapan hanya beberapa minggu, kami yakin mampu bersedia sepenuhnya,” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia di sini:

Kurniawan Dwi Yulianto Berikan Sebab Mengapa Sabah Tidak Ambil Khidmat Jorge Pereyra Diaz

Syafiq Ahmad Sertai Sesi Latihan Johor Darul Ta’zim

Penyokong ‘The Red Warriors’ Teruja Dengan Jersi Musim 2021 Sehingga Mahu Jadikan Sebagai Baju Raya