Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari tidak menafikan kemungkinan bintang Colombia, Radamel Falcao bakal menyertai skuad Harimau Selatan dalam perpindahan kedua Liga Malaysia pada bulan Julai nanti.
Baca Juga:
- Media Sepanyol Dedahkan Radamel Falcao Bakal Sertai JDT
- KL City vs JDT: Anak Buah Solari Menang Selesa Di Cheras
- Jaringan Sulung Bersama JDT Tingkatkan Keyakinan Endrick
Salah sebuah media dari Sepanyol, Marca baru-baru ini melaporkan bekas penyerang Manchester United itu sedia berhijrah ke Malaysia menyertai Harimau Selatan.
Kontrak Falcao bersama Rayo Vallecano bakal berakhir pada bulan Jun ini dan menurut laporan media tersebut, beliau bersedia untuk mencuba cabaran baharu dengan beraksi bersama JDT.
Menurut Solari, kemasukan Falcao dalam pasukan itu bergantung pada keputusan pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) setelah berunding dengan pihak tertentu.
“Ada kemungkinan. Bos kami (TMJ) sedang usahakan menerusi kerjasama pihak tertentu.
“Kelab sebesar JDT tahu peluang yang ada di luar dan kami masih menunggu berita lanjut. Saya tidak boleh bercakap lebih kerana ia bergantung kepada bos kami, beliau yang membuat keputusan mengenai perkara ini,” jelas Esteban Solari.
Sekiranya bekas penyerang Chelsea dan Atletico Madrid itu menandatangani kontrak bersama JDT, maka beliau akan menjadi pemain berprofil tinggi kedua yang menyertai skuad Harimau Selatan selepas Pablo Aimar pada 2013.
Falcao mula beraksi bersama Rayo Vallecano sejak musim 2021 dimana beliau sebelumnya menyarung jersi kelab Turki, Galatasaray selama dua musim.
Sebelumnya, beliau pernah beraksi dengan beberapa kelab ternama di Eropah seperti FC Porto, Atletico Madrid, AS Monaco, Manchester United dan Chelsea.
Pemain berusia 37 tahun itu bakal bersaing dengan Bergson da Silva, Fernando Forestieri dan Diogo Luis Santo sekiranya menyertai JDT.
Malah, JDT kemungkinan perlu menyediakan RM5 juta setahun untuk membayar gaji Radamel Falcao seandainya penyerang itu telah sah menyertai skuad Harimau Selatan.
Ia adalah anggaran selepas kelab Sepanyol, Rayo Vallecano ketika ini dikatakan membayar gaji penyerang Colombia itu 1.2 juta Euro atau kira-kira RM5.6 juta setahun.