Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meletakkan sasaran untuk mara ke pusingan akhir Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada tahun 2020 untuk skuad Malaysia bawah 19 Tahun (B-19).

Menurut Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, beliau menuntut skuad kendalian Brad Maloney mampamerkan aksi terbaik dalam Kejohanan AFF B-19 di Vietnam yang akan bermula pada bulan depan.

“Sasaran kita adalah pasukan ini layak ke pusingan akhir AFC B-19 2020, dan kita harap pasukan ini akan mempamerkan aksi terbaik pada aksi AFF B-19 nanti,” katanya dalam Utusan Malaysia

66866069_2279555938807824_7509660492109971456_o
FOTO: FAM

Dalam kejohanan AFF B-19, Malaysia diundi bersama juara lima kali, Thailand serta juara empat kali, Australia dalam kumpulan B, bersama tiga pasukan lain iaitu Kemboja, Singapura dan tuan rumah Vietnam.

Untuk rekod, Malaysia muncul juara buat julung kalinya, selepas mengalahkan Myanmar 4-3 pada aksi final edisi 2018 di Indonesia.

Sementara itu, Arena Metro melaporkan pemain muda Sarawak, Mohd Yusry Haziq Idris yang berkelana selama dua tahun di England, kemungkinan akan dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad Malaysia B-19.

Beraksi di posisi serangan dan tengah, dia adalah salah seorang daripada dua pemenang Program Million Dollar Feet (MDF) yang diasaskan legenda Liverpool, Steve McMahon pada 2016.

Atas bakat istimewa dimilikinya, dia dibawa ke Leicestershire, England dan ditempatkan di Brooke House College Football Academy mulai September 2017 hingga kontraknya tamat, Jun lalu.

Pengurus skuad B-19, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar berkata, beliau akan berbincang dengan pengendali pasukan, Brad Maloney sebelum memanggil pemain yang digelar ‘Neymar Sarawak’ itu.

“Saya akan cuba bincang dengan Maloney. Kita tengok… kita cuba tengok dan jika dia menepati standard, sudah tentu kita akan ambil,” katanya