Isu tunggakan gaji terus menghantui saingan Liga Malaysia musim ini dimana pasukan Sabah menjadi ‘ahli’ terbaru dalam senarai pasukan yang gagal menjaga kebajikan pemain mereka.

Tular dalam sosial media TikTok baru-baru ini dimana skuad B-23 Tahun Sabah dilaporkan tidak menerima gaji bagi bulan Jun, Julai dan Ogos namun pihak pengurusan sering berjanji untuk menyelesaikan tunggakan itu.

Menurut laporan Berita Harian, salah seorang wakil telah meminta tunggakan gaji kepada pengurusan menerusi video TikTok yang dimuat naik baru-baru ini.

“Sabah FC, saya sebagai wakil pemain untuk bersuara tentang gaji kami. Bilakah dibayar tiga bulan gaji kami gaji bulan 6, 7 dan 8.

“Kami sudah penat menerima janji manismu pasal gaji. Apabila kami bersuara tidak dilayan, salahkah kami sebagai pemain untuk bertanya gaji kami. Tolonglah ketengahkan tentang gaji kami. Kami pemain ada juga yang perlu pakai duit,” kata pemain itu.

Sebelum ini, pemilik kelab bola sepak Kedah Darul Aman (KDA) FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar dalam sidang media baru-baru ini mengakui pasukannya mengalami masalah tunggakan gaji sehingga menjejaskan prestasi dalam saingan Liga Super.

“Saya ingin memohon maaf kepada jurulatih pasukan Liga Super, Nafuzi Zain, barisan kejurulatihan, semua pegawai, staf dan pemain serta ahli keluarga mereka atas masalah kewangan atau lebih tepat lagi masalah aliran tunai yang sedang dihadapi oleh KDA FC yang telah menyebabkan masalah tunggakan gaji.

“Dan ini juga mengakibatkan persembahan pasukan yang kurang memberangsangkan kebelakangan ini.

“Dalam konteks ini, saya juga minta maaf kepada penyokong dan peminat atas segala kelemahan KDA FC yang mengakibatkan persembahan yang kurang mengujakan.

“Sebagai pemilik saya ambil tanggungjawab sepenuhnya masalah kewangan yang dihadapi KDA FC, sebuah kelab bola sepak yang diswastakan sepenuhnya sejak Ogos 2022 tidak ubah seperti menguruskan sebuah syarikat.

“Kadang-kadang sebahagian percaturan dan strategi penjanaan serta pemasaran tidak berlaku seperti yang dirancangkan. Semua pendapatan hanyalah daripada sumber yang terhad dalam konteks sumbangan pembangunan saham dan juga penajaan serta hasil tiket dan merchandise,” katanya menerusi Facebook KDA FC.