Bekas kapten negara, Shukor Adan menggesa agar perbincangan mengenai kedudukan kewangan pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia diadakan secara profesional dan tertutup.
“Soal gaji pemain dan kedudukan kewangan pasukan eloklah dibawa berbincang secara dalaman, bukan dalam media atau media sosial.
“Semua pihak harus bertindak secara profesional dalam menangani isu ini. Dalam dunia korporat, sebarang bentuk potongan gaji atau bayaran bonus tidak dibincangkan secara terbuka,” kata tonggak Kuala Lumpur itu.
Shukor yang juga bekas pemain tengah Felda United, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan, turut memberi amaran kepada pasukan agar tidak menjadikan pandemik COVID-19 sebagai alasan untuk memotong gaji pemain secara melulu.
“Adalah menjadi tanggungjawab majikan untuk membayar gaji pekerja. Isunya kini adalah pemain sebenarnya bimbang COVID-19 ini dijadikan alasan untuk memotong atau melewatkan pembayaran gaji kepada pemain.
“Pemain sedar ada sesetengah pasukan yang sentiasa berdepan masalah membayar gaji. Ada juga pasukan yang masih berdepan masalah gaji tertunggak. Jadi pemain tidak mahu masalah ini kian membesar angkara COVID-19.
“Pemain bimbang sebenarnya jika ada pihak yang menangguk di air keruh.”
Bagaimanapun, Shukor menyarankan agar semua pihak – sama ada pemain, pengurusan dan jurulatih – berbincang secara telus dan terbuka tetapi secara dalaman tanpa perlu membuka pekung di dada sebagai usaha mencari penyelesaian atas persetujuan bersama.
Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia di sini:
Khalid Ali: “Saya Lihat Pegawai PFAM Ini Lebih Pandai Daripada Kerajaan Malaysia”
Felda United Kutip Sumbangan Bantu “Frontliners” Perangi Wabak COVID-19