Skuad Indonesia mencuri tumpuan peminat bola sepak Asia Tenggara apabila mencatat keputusan seri ke atas Thailand, 2-2 dalam aksi kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Al Maktoum, Dubai.
Keputusan tersebut telah meningkatkan semangat pasukan itu yang terdiri daripada pemain muda untuk melakar satu lagi kejutan dalam perlawanan menentang Vietnam pada 8 Jun ini (Selasa).
Pengendali skuad Garuda, Shin Tae-yong yakin anak buahnya akan menewaskan Vietnam berdasarkan prestasi yang dipamerkan ketika menentang Thailand.
“Saya tahu Park Hang-seo (jurulatih Vietnam) telah menonton perlawanan itu. Ini memberi sedikit kelebihan kepada Vietnam kerana Park dah tahu bagaimana cara kami bermain.
“Namun, saya akan buat sedikit perubahan dan tekad kejutkan Vietnam,” katanya dipetik dalam Bongdaplus.
Walaupun peluang Indonesia untuk mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2022 sudah tertutup, namun mereka tetap tidak akan memberi laluan mudah kepada 2 lawan terakhir yang bakal dihadapi selepas ini.
“Kalau kami bermain seperti menentang Thailand, saya yakin Indonesia akan kalahkan Vietnam.
“Pemain saya sudah buat yang terbaik terutamanya pemain berpengalaman seperti Evan Dimas. Hanya 7 orang dalam skuad ini sudah pernah beraksi di pentas antarabangsa manakala baki pemain yang lain baru kali pertama.
“Saya mahu mengucapkan terima kasih diatas komitmen pemain dan sokongan daripada penyokong. Namun, kita tak boleh leka, Indonesia perlu meningkatkan prestasi dan bermain lebih baik pada perlawanan menentang Vietnam,” jelas Shin Tae-yong.
Jika Vietnam berjaya menewaskan Indonesia, peluang mereka untuk dapat slot automatik ke Piala Asia 2023 semakin cerah.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia.
Tiga Kelab A-League Tarik Diri Daripada Saingan AFC Champions League 2021
Kiatisuk Senamuang: Laluan Vietnam Lebih Cerah Berbanding Thailand