Pengendali skuad kebangsaan Indonesia, Shin Tae-yong kini mempunyai perancangan terbaharu untuk jangka panjang bagi membantu meningkatkan prestasi pasukannya di peringkat antarabangsa.

Dalam kenyataannya di laman web rasmi Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), beliau tidak meletakkan sasaran untuk membawa Indonesia menjuarai Piala AFF 2020 tetapi pada tahun 2022.

Keutamaannya dalam tempoh dua tahun ini ialah memperbaiki corak permainan Indonesia dan mengubah kedudukan ranking negara itu serta aspek pembangunan skuad bawah 19 tahun.

“Tujuan utama adalah untuk melepasi peringkat kumpulan pada Piala Dunia B-20 2021 dan juara Piala AFF 2022. Oleh kerana itu, apa yang lebih penting ialah Piala AFC B-19 dan Piala AFF 2020 akan dijadikan sebagai proses untuk kita naik ke peringkat lebih tinggi.

“Tiada jurulatih yang tidak mahu meraih kemenangan. Tetapi sekarang masa untuk memperbaiki sesuatu supaya mendapat hasil di masa depan. Tolong bantu saya untuk ini dengan semua orang di PSSI dan mereka yang mengambil berat tentang bola sepak Indonesia,” katanya.

Timnas Indonesia. (Foto: PSSI).
Timnas Indonesia. (Foto: PSSI).

Pengendali yang berusia 51 tahun itu turut berharap PSSI bersikap realistik dan beliau bukan jenis meletak sasaran untuk jangka pendek. Justeru itu, beliau memerlukan sokongan daripada semua pihak untuk meletakkan Indonesia di tahap tertinggi.

“Saya ingin mendapatkan sokongan semua pihak sehingga kami dapat memberikan harapan kepada semua orang Indonesia melalui bola sepak. Sekali lagi, saya ingin bertemu Ketum PSSI (Ketua umum) secepat mungkin untuk membincangkan tentang perancangan kami,” tambahnya.

Bekas pengendali skuad Piala Dunia Korea Selatan itu bulan lalu mencuri tumpuan para peminat bola sepak Indonesia selepas memberi kenyataan tidak berpuas hati terhadap pengurusan PSSI kepada media negaranya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Indonesia melalui pautan dibawah.

Indonesia Berhajat Jadi Tuan Rumah Piala Dunia FIFA 2030

Bola Sepak Indonesia Kembali Bergasak, Pemain Pijak Kepala Pengadil