Sokongan daripada penyokong setia diharapkan mampu menjadi pemangkin semangat buat pemain-pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi memburu kejuaraan TM Piala Malaysia 2022 dalam perlawanan menentang Selangor sabtu ini.

Baca Juga:

Menurut pertahanan JDT, Shahrul Saad, beliau meminta penyokong setia Harimau Selatan akan turun beramai-ramai pada perlawanan akhir, Sabtu ini bagi merealisasikan kejuaraan ketiga JDT untuk musim ini selepas Liga Super dan Piala FA.

Tambahnya, dia dan pemain-pemain sedia mengubati kekecewaan penyokong di pentas akhir pada musim lalu malah berasakan JDT kini sedang berada momentum terbaik bagi menamatkan pemburuan kejuaraan sejak 2019.

“Memang rasa sangat bersyukur kerana dapat ke perlawanan akhir Piala Malaysia sekali lagi bersama JDT setelah mengalami kekecewaan pada musim lalu.

“Untuk final kali ini, harap kita akan buat yang terbaik demi memastikan kejuaraan mampu menjadi milik JDT.

“Kepada penyokong pasukan Johor, diharapkan boleh datang beramai-ramai semasa di perlawanan akhir kerana kami semua memerlukan sokongan anda.

“Kita akan cuba ubati kekecewaan mereka apabila kita tewas sebelum ini dan harapkan rezeki ada untuk JDT pada musim ini,” katanya kepada MFL.

Shahrul menjadi antara watak utama di bahagian pertahanan Harimau Selatan apabila kerap digandingkan bersama Feroz Baharudin atau Jordi Amat selepas kecederaan yang dialami Shane Lowry.

Sepanjang kempen TM Piala Malaysia, hanya satu gol dilepaskan oleh JDT iaitu di peringkat separuh akhir kedua semasa berdepan Sabah di Stadium Sultan Ibrahim.

Jika berjaya menjulang trofi Piala Malaysia pada Sabtu ini, ia bakal menjadi gelaran kedua peribadi buat pemain berusia 29 tahun itu selepas pernah memenanginya bersama Perak, pada musim 2018.