Bekas kapten skuad kebangsaan, Muhammad Shahrom Abdul Kalam menyifatkan tonggak utama Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Mohd Hanapi memang wajar mendapat pengiktirafan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) dalam Anugerah Bolasepak Negara 2021 ekoran prestasi hebat ditampilkannya.
Dalam masa sama, beliau turut menyenaraikan beberapa pemain seperti pemain tengah Penang FC, Khairu Azrin Khazali dan penjaga gol Kuala Lumpur City FC, Kevin Ray Mendoza yang dianggap antara pemain patut diberi pujian kerana mempamerkan persembahan cukup konsisten sepanjang musim ini.
“Sejujurnya saya sangat setuju Arif Aiman menjadi MVP kerana melihat apa yang dia sumbangkan kepada JDT, Arif ini seorang pemain yang sangat berbakat dan punyai kematangan mengagumkan biarpun baharu berusia 19 tahun.
“Ramai tertanya bagaimana dia boleh mengambil tempat Safawi Rasid dalam kesebelasan utama JDT sejak dari aksi liga sebelum dia terus konsisten kekalkan tempat hinggalah final TM Piala Malaysia, memang betul dia selayaknya diberi anugerah MVP.
“Dalam masa sama, ada dua pemain yang saya rasa agak ‘underrated’ iaitu Khairu Azrin dari Penang dan Kevin Ray Mendoza, penjaga gol Kuala Lumpur City.
“Bagi saya, kehadiran Khairu Azrin menjadi antara faktor utama di sebalik kejayaan Penang meraih tanpa ketiga Liga Super kerana dia berjaya menyeimbangkan bahagian serangan dan pertahanan pasukan.
“Tanpanya yang alami kecederaan semasa saingan TM Piala Malaysia, Penang cukup bergelut dan gagal melangkah jauh, Khairu Azrin sepatutnya mungkin sudah boleh sertai skuad kebangsaan.
“Begitu juga Kevin yang bagi saya menjadi penyumbang terbesar di sebalik rekod Kuala Lumpur tidak tewas di gelanggang sendiri sepanjang musim ini.
“Ramai tidak nampak prestasinya yang cemerlang terutama dalam aspek ketenangan dan bijak mengemudi benteng dalam memberikan arahan kepada barisan pertahanan,” katanya.
Menyentuh perjalanan Liga Malaysia 2021, Shahrom gembira memerhatikan lambakan pemain muda yang semakin berjaya mencuri tempat dalam kesebelasan utama dalam kebanyakan pasukan.
Baginya, itu satu petanda positif kepada perkembangan bola sepak tanah air berikutana ramai antara mereka sudah berjaya mengetuk tempat dalam pasukan kebangsaan serta selaras dengan tuntutan bola sepak moden yang mengamalkan corak permainan pantas.
“Saya sebenarnya begitu teruja melihatkan kehadiran pemain muda seperti Sharul Nazeem (Selangor), Quentin Cheng (Penang FC) dan Azam Azmi Murad (Terengganu FC) yang diberi peluang bermain dalam skuad utama.
“Jika dahulu rasanya sukar untuk kita melihat pemain muda menembusi dalam barisan 11 pemain namun sekarang tidak lagi dengan jurulatih berani berikan peluang.
“Ini mampu berikan galakan dan seterusnya pemain muda menunjukkan keupayaan masing-masing dan semakin ramai antara mereka berjaya dipanggil bersama skuad kebangsaan,” katanya.