Dalam artikel sebelum ini, kami telah mendedahkan bagaimana pemain-pemain muda Jepun yang akan bergelar pemain profesional wajib menjalani satu sesi latihan khas selama 3 hari 2 malam yang dianjurkan oleh J.League sebagai ‘orientasi’ dunia bola sepak profesional.
Dalam artikel kali ini, pihak J.League telah banyak memuat naik video-video berkaitan sesi orientasi yang dijalankan supaya lebih ramai peminat diluar dapat melihat dengan jelas apa sebenarnya yang berlaku semasa sesi tersebut.
Sebagai contoh dalam video dibawah menunjukkan salah satu latihan asas bagi pemain-pemain untuk memperkenalkan diri. Seorang fasilitator khas akan memantau apa yang disebut oleh setiap pemain, nada suara yang betul selain ekspresi muka yang tepat.
Selain itu, postur badan yang betul serta sesi ‘review’ turut diadakan untuk menerangkan dengan jelas apa yang perlu dimiliki oleh seorang pemain bola sepak profesional.
/#Jリーグ新人研修 🔰
オフショットをお届け📸
\ただいま、選手たちは
グループに分かれて
コミュニケーショントレーニング中💪🎤#Jリーグ pic.twitter.com/Sgs6tgnCbB— Jリーグ(日本プロサッカーリーグ) (@J_League) January 30, 2020
Selain perkara berkaitan komunikasi, pemain-pemain yang masih mentah ini juga turut didedahkan dengan pelbagai lagi perkara ‘do’s and don’ts’ apabila bergelar sebagai pemain J.League.
Seperti dalam gambar dibawah, mereka berada dalam sesi dimana fasilitator menerangkan secara lebih dalam mengenai apa yang tidak boleh dilakukan sebagai seorang pemain profesional.
Antara perkara yang ada dalam slide yang dipaparkan adalah menulis perkara yang tidak baik dalam medium internet dan menggunakan perkataan yang kotor (baca: maki), ketika berdepan komuniti khususnya.
Sebagai seorang pemain profesional, mereka didedahkan bagaimana liga dan kelab menjana pendapatan untuk membayar segala kos operasi pasukan dan pemain perlu tahu apa peranan mereka dalam membantu liga serta kelab untuk kekal berada dalam keadaan kewangan yang sihat.
Ilmu seperti ini adalah untuk membentuk satu ‘mindset’ bahawa pemain profesional bukan sekadar beraksi diatas padang malahan peranan mereka jauh lebih banyak lagi untuk membawa nama baik kelab atau pasukan.
Pemain-pemain ini juga dikehendaki untuk mengeluarkan idea bagaimana kelab mampu menjana lebih pendapatan justeru meneruskan kelangsungan operasi kelab termasuk membayar gaji semua staf dan juga pemain.
Dalam sesi terakhir semalam, Pengerusi J.League iaitu Mitsuru Murai hadir memberikan ucapan dan menjelaskan satu ‘hard truth’ yang perlu dihadapi atau diterima oleh mereka yang akan masuk ke era profesional.
Sebagai contoh, pada tahun 2005 seramai 120 orang pemain memulakan karier profesional dan selepas 10 tahun hanya 49 pemain berjaya turun beraksi dalam 0-50 perlawanan.
Apa yang mengejutkan adalah hanya seorang pemain yang berjaya beraksi lebih 300 perlawanan dalam tempoh tersebut dan 21 orang pemain tidak pernah diturunkan dalam sebarang perlawanan sebenar.
Pihak J.League juga turut menjemput beberapa orang ‘otai’ yang mempunyai pengalaman luas beraksi secara profesional untuk berkongsi dengan pemain-pemain muda ini tentang 1001 perkara dalam dunia bola sepak profesional.
Para peserta juga boleh bertanyakan soalan secara terus kepada pemain-pemain berpengalaman ini bagi menjawab segala kekusutan yang mungkin ada dalam diri mereka sebelum bersedia sepenuhnya untuk bergelumang dalam dunia yang penuh cabaran mental dan fizikal ini.
Inilah cara yang Jepun tunjukkan kepada anak muda yang akan memulakan karier profesional supaya mereka lebih terbuka fikiran dan mempunyai pemikiran yang lebih luas berkaitan apa itu bola sepak profesional yang bukan sahaja tertakluk kepada aksi pemain diatas padang sahaja sebenarnya.
Baca juga artikel lain berkaitan sesi latihan komunikasi pemain muda Jepun sebelum memulakan karier profesional mereka bersama kelab.
182 Pemain Profesional Dilahirkan Untuk Musim 2019, Platform Mana Paling Produktif Di Jepun?