Christian Pulisic berkata pada Rabu bahawa beliau telah pulih daripada kecederaan betis dan Amerika Syarikat kini bertekad untuk melakar kemenangan ketiga berturut-turut dalam Piala Dunia menentang Turki bagi membawa momentum ke pusingan kalah mati.

Penganjur bersama itu telah mengungguli Kumpulan D dengan berbaki satu perlawanan, manakala lawan mereka di Los Angeles pada Khamis ini pula sudah pun tersingkir, sekali gus menjadikan aksi tersebut sekadar perlawanan formaliti.

Namun Pulisic, penyerang berbisa Amerika Syarikat, memberitahu AFP bahawa satu lagi kemenangan di peringkat kumpulan di hadapan sokongan gemuruh penyokong sendiri akan memberi kelebihan kepada pasukan itu menjelang perlawanan pusingan 32 terakhir di Santa Clara, California menentang lawan yang belum diketahui pada Rabu depan.

“Melangkah ke pusingan kalah mati pastinya terasa lebih baik dengan kemenangan, dan sebab itulah kami akan berjuang habis-habisan untuk mendapatkannya,” katanya.

“Ia satu peluang yang luar biasa… Kami tidak semestinya memerlukan kemenangan, tetapi ini adalah perlawanan Piala Dunia, dan kami semua mahu memberikan yang terbaik serta beraksi dengan cemerlang.”

Pulisic tidak lagi beraksi sejak rehat separuh masa dalam perlawanan pembukaan yang menyaksikan kemenangan 4-1 ke atas Paraguay, selepas mengalami kecederaan akibat perlanggaran ketika sesi latihan beberapa hari sebelum itu.

Kini kembali menjalani latihan penuh bersama pasukan, Pulisic berkongsi beberapa butiran lanjut mengenai kecederaan ringan tersebut — sambil tetap enggan mendedahkan rakan sepasukan mana yang telah menyepaknya.

“Saya terkena sepakan kuat di betis beberapa hari sebelum perlawanan. Sepanjang separuh masa pertama, saya berasa baik, namun selepas itu saya mula merasainya sedikit dan saya rasa adrenalin sememangnya membantu saya bertahan,” katanya.

“Saya cuma rasa saya mengalami lebam yang agak teruk, ketegangan otot, atau apa-apa sahaja yang anda mahu panggil… Keadaannya terasa jauh lebih baik sekarang.”

Meskipun sudah kembali cergas, tiada jaminan Pulisic akan beraksi menentang Turki, dalam perlawanan yang dianggap kurang penting mengikut standard Piala Dunia.

Beberapa rakan sepasukan utama juga mungkin direhatkan, memandangkan Chris Richards, Antonee Robinson, Tyler Adams dan Folarin Balogun semuanya berdepan risiko digantung perlawanan sekiranya dilayangkan satu lagi kad kuning.

Pulisic berkata, dia mengalami “emosi yang sukar” apabila sekadar menonton dari luar padang. Namun, rakan sepasukannya menjadikan keadaan “jauh lebih mudah” dengan melakar kemenangan mengagumkan 2-0 ke atas Australia di Seattle pada Jumaat lalu.

‘Mentaliti kemenangan’

Kejayaan memenangi dua perlawanan peringkat kumpulan buat kali pertama sejak 1930 telah membantu pasukan Amerika Syarikat menyemarakkan sokongan orang ramai yang minatnya terhadap bola sepak kian berkembang, namun ia masih sangat bergantung kepada kejayaan skuad kebangsaan tersebut.

Amerika Syarikat tidak pernah layak ke peringkat suku akhir Piala Dunia sejak tahun 2002. Namun, permulaan meyakinkan dalam saingan Piala Dunia selepas prestasi hambar sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah membangkitkan harapan bahawa penganjur bersama itu mampu mara lebih jauh dalam kejohanan di laman sendiri.

Meskipun tidak beraksi di Seattle, Pulisic tetap mencuri tumpuan apabila rakaman video yang memaparkan beliau mendendangkan lagu “Take Me Home, Country Roads” dengan penuh keriangan ketika melakukan pusingan meraikan kemenangan di atas padang menjadi tular.

“Mereka memainkan lagu yang kita semua tahu, dan ia seperti, saya tidak dapat menjelaskannya. Ya, ia memang membuatkan kita meremang, tahu?” kata bintang itu, yang mahukan pasukannya terus mengekalkan aura positif sedemikian.

“Apabila anda memenangi perlawanan terakhir, anda akan melangkah ke perlawanan seterusnya dengan sedikit kelebihan… ya, saya pun tidak tahu, cuma perasaan yang baik,” katanya.

“Perasaan ‘mentaliti juara’ itu, ia akan sentiasa melekat dalam diri. Jadi, sudah tentu anda mahukannya.”