Selepas berjaya mengadakan perlawanan persahabatan menentang Argentina tempoh hari, Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) kini dalam usaha untuk mendatangkan kuasa besar bola sepak dunia yang lain untuk bertemu skuad kebangsaan Indonesia.

Baca Juga:

Negara yang dikatakan menjadi perhatian badan induk bola sepak Indonesia itu ialah Portugal, Brazil, Sepanyol dan Maghribi.

Perkembangan terkini itu disahkan oleh wakil Ketua Umum (Ketum) PSSI, Zainudin Amali menurut sumber laporan Goal Indonesia.

Zainudin mendedahkan bahawa Portugal sedang dipertimbangkan oleh PSSI untuk dihadapi Indonesia bagi perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 pada tahun ini.

Malah, beliau yang juga merupakan bekas Menteri Pemuda dan Olahraga negara tersebut mengakui perbincangan melibatkan PSSI dan Persatuan Bola Sepak Portugal juga sedang diusahakan.

“Dalam masa setahun ini, kami mendapat lapan kali ‘FIFA Matchdays’. Sekurang-kurangnya salah satu daripada lapan perlawanan tersebut akan diisi oleh pasukan yang bertaraf seperti Argentina.”

“Kami ada keinginan untuk mendatangkan Portugal. Kami sudah berhubung dengan Duta Besar Indonesia di sana. Cuma janganlah perlawanan ini diadakan hanya selepas Cristiano Ronaldo bersara,” ujar Zainudin Amali.

Pada pertemuan menentang Argentina pada 19 Jun lalu, skuad garuda mempamerkan aksi terpuji untuk mengekang juara dunia itu walaupun akhirnya mereka tumpas 0-2 hasil jaringan Leandro Paredes dan Christian Romero.

Seperti diketahui, Asnawi Mangkualam mencuri tumpuan pada aksi tersebut selepas beliau merantai dengan baik kelibat pemain muda La Albiceleste, Alejandro Garnacho.